Kejutan Izzah mampu gugat PH di Rantau

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hasrat Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar untuk tidak lagi menjadi wakil rakyat selepas berakhirnya penggal ini dilihat bakal menjejaskan peluang PH pada PRK Rantau, bulan hadapan.

Keputusan mengejutkan kerana kecewa dengan PH itu menurut penganalisis politik, Prof Dr Awang Azman Awang Pawi, akan memberikan kesan besar jika ia diperbesarkan oleh BN.

"Kalau isu ini diperbesar-besarkan oleh BN dalam kempen PRK ini hingga menggugat keyakinan pengundi terhadap PKR dan PH maka ini akan menjejaskan peluang PKR untuk menang PRK.

ARTIKEL BERKAITAN: Ini penggal terakhir saya jadi Ahli Parlimen - Nurul Izzah

"BN perlu melihat isu ini sebagai isu penting untuk berikan persepsi bahawa ada sesuatu yang tidak kena hingga keghairahan Nurul Izzah untuk terus berkecimpung dalam politik hilang," katanya kepada Sinar Harian.

Nurul Izzah kelmarin mengumumkan beliau tidak akan bertanding lagi dalam PRU15.

Menurut laporan Straits Times Singapore, Nurul Izzah yang diberi gelaran Puteri Reformasi itu menyifatkan kerajaan PH mengambil langkah perlahan dalam pentadbiran negara.

Selain itu, Nurul Izzah berkata, beliau kecewa dengan obsesi kerajaan PH terhadap skandal 1MDB dan tidak memberi fokus terhadap isu sebenar.

Artikel Berkaitan:

Katanya, isu 1MDB hanya boleh digunakan buat sementara kerana selepas itu orang ramai mahukan keselesaan dan penambahbaikan dalam kehidupan seharian mereka.