Sila log masuk terlebih dahulu.

[VIDEO] Murid Tahun Tiga cedera dipukul bapa rakan sekelas

Mangsa yang cedera pada kepala dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah pada Ahad. Foto: Ihsan pembaca
Mangsa yang cedera pada kepala dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah pada Ahad. Foto: Ihsan pembaca
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang murid Tahun Tiga cedera dipukul bapa rakannya dalam kejadian di luar pagar sebuah sekolah rendah di daerah ini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, kejadian berlaku jam 1 petang itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan rakannya.

"Sebelum kejadian, mangsa telah bermain sebelum bergaduh dengan rakan sekelasnya di luar pagar sekolah. Mangsa dikatakan telah menampar rakan sekelasnya itu.

"Apabila bapa rakannya datang, rakan mangsa telah mengadu dia ditampar oleh mangsa.

"Lelaki berkenaan kemudian dipercayai bertindak mencekik dan mengangkat mangsa sebelum menghempas ke bawah menyebabkan kepala mangsa mengalami luka kecil dipercayai terkena batu," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Abdul Rahim berkata, pihak sekolah telah menghubungi bapa mangsa untuk memaklumkan kejadian itu dan bapa murid berkenaan telah datang mengambil anaknya di sekolah sebelum membuat laporan polis.

"Mangsa telah dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini dan mendapat rawatan sebagai pesakit luar.

"Kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan," katanya.

Artikel Berkaitan: