MBSA beri sumbangan kepada kakitangan ringan beban sambut Aidilfitri

Zamani (empat dari kanan) bergambar bersama tetamu undangan pada Program Iftar Jamaie di Hotel Mardhiyyah,
Seksyen 14, Shah Alam pada Jumaat.
Zamani (empat dari kanan) bergambar bersama tetamu undangan pada Program Iftar Jamaie di Hotel Mardhiyyah, Seksyen 14, Shah Alam pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 104 kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) masing masing-masing menerima sumbangan bernilai RM300 pada Program Iftar Jamaie pada Jumaat.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, warga kerja yang menerima sumbangan itu terdiri daripada ibu atau bapa tunggal, mempunyai anak-anak istimewa dan warga kerja berstatus orang kelainan upaya (OKU).

Menurutnya, penerima lain terdiri daripada warga kerja yang menghidap penyakit kronik, mempunyai pasangan yang tidak mampu untuk meneruskan pekerjaan selepas kemalangan dan warga kerja yang baharu memeluk Islam (mualaf).

"Melalui sumbangan yang diberikan ini, MBSA berharap dapat meringankan beban mereka yang memerlukan bagi menyambut bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Shahrin berkata, penganjuran Program Iftar Jamaie yang diadakan di Hotel Mardhiyyah, Seksyen 14 di sini, juga antara lain sebagai usaha menyemarakkan ukhuwah antara warga dan komuniti setempat.

Kata beliau, program itu dihadiri Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor selain 250 peserta terdiri daripada 24 Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) MBSA, pihak pengurusan tertinggi dan warga kerja MBSA.

Selain itu, katanya, antara pengisian aktiviti sepanjang program itu alunan qasidah dan selawat, tazkirah ringkas, bacaan tilawah al-Quran, solat Magrib, Isyak dan solat tarawih secara berjemaah.

"Program ini merupakan inisiatif MBSA untuk mewujudkan suasana keakraban, kemesraan dan seronok dalam melaksanakan amal ibadah pada Ramadan ini," jelasnya.

Kata beliau, MBSA juga menyasarkan melahirkan masyarakat yang memilik sahsiah diri mulia, berbudi pekerti dan berhemah.

"MBSA berharap pelaksanaan program ini dapat mengeratkan lagi silaturahim serta menjadi platform untuk menghayati keberkatan, kepentingan tuntutan dan beramal di sepanjang bulan Ramadan," ujarnya.