Pemandu lori tak makan saman!

Lori membawa bahan kuari sering menjadikan jalan kampung sebagai laluan pintas. Gambar kecil, jalan baru sahaja dibaik pulih namun rosak semula kerana kerap dilalui lori membawa lebihan muatan.
Lori membawa bahan kuari sering menjadikan jalan kampung sebagai laluan pintas. Gambar kecil, jalan baru sahaja dibaik pulih namun rosak semula kerana kerap dilalui lori membawa lebihan muatan.
A
A
A
TIDAK makan saman. Itu tindakan segelintir pemandu lori membawa bahan kuari yang masih berdegil menggunakan jalan kampung sebagai laluan pintas, di sini.

Tindakan itu menyebabkan beberapa jalan seperti Jalan Kenanga, Jalan Cempaka dan Jalan Paip rosak walaupun baru seminggu dibaiki.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kelibat lori dapat dilihat hampir setiap masa di jalan terbabit.

Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, keadaan itu berlarutan sejak lebih lima tahun lalu dan masalah tersebut kini semakin serius.

Katanya, jalan baru sahaja dibaik pulih namun rosak semula selepas kerap dilalui lori membawa lebihan muatan.

“Masalah ini sudah lama dan kini semakin serius, menyebabkan banyak jalan rosak. Tak sampai seminggu dibaiki, ia rosak kembali.

“Pemandu-pemandu lori ini menjadikan jalan kampung ini sebagai laluan pintas. Ini menyebabkan peruntukan baik pulih jalan semakin tinggi, sekali gus menyebabkan pembaziran,” katanya pada sidang media, di sini.

Hadir sama, ADUN Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar.

Abdullah Sani berkata, tindakan tegas perlu dikenakan kepada pemandu lori atau pengendali kuari bagi memastikan masalah itu tidak berlarutan.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak akan berkompromi dengan pihak terbabit kerana ia turut gugat keselamatan penduduk kampung.

“Pihak berkuasa perlu ambil tindakan tegas seperti saman dan sita kuari berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Fakhrulrazi berkata, beliau pernah menahan sebuah lori dan mendapati pemandunya remaja berusia 16 tahun.

“Bagaimana seorang remaja boleh memandu lori? Sudah pasti tiada lesen dan ini secara tidak langsung membimbangkan penduduk.

“Justeru, kita amat berharap pihak penguatkuasa bertindak lebih tegas dalam soal ini kerana ia melibatkan keselamatan penduduk,” katanya.