Sila log masuk terlebih dahulu.

Maritim tingkat kawalan di perairan negara sempena Aidilfitri

Syed Nor Adli (kiri) memantau aktiviti di perairan negara. - Foto Sinar Harian
Syed Nor Adli (kiri) memantau aktiviti di perairan negara. - Foto Sinar Harian
A
A
A

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan memperketatkan kawalan di perairan negara bagi mengekang pencerobohan nelayan warga asing dan penyeludupan pada musim perayaan Aidilfitri.

Penugasan dilakukan menerusi Operasi Khas Pagar Laut Siri 1/2022 (Op Pagar Laut) bermula 19 April lalu sehingga 17 Mei depan.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, aktiviti jenayah di perairan dalam tempoh menjelang dan sewaktu Aidilfitri dijangka meningkat kerana penceroboh beranggapan anggota keselamatan sibuk berhari raya.

“Penceroboh atau penyeludup menganggap kawalan yang longgar semasa perayaan, bagaimanapun sebaliknya Maritim sentiasa bersiap siaga malah meningkatkan kawalan pada seminggu sebelum, semasa dan seminggu selepas Aidilfitri bagi menghalang aktiviti jenayah di perairan.

“Sejumlah 115 kekuatan anggota atau 70 peratus daripada 165 keanggotaan Maritim terbabit dalam penugasan ketika perayaan dengan 43 mereka bertugas bagi mengendalikan aset-aset Maritim di perairan negara,” katanya ketika sidang akhbar di Pejabat Maritim Tok Bali di sini pada Isnin.

Syed Nor Adli berkata, Op Pagar Laut melibatkan kawasan perairan negara seluas 27,637 kilometer persegi yang dikuatkuasakan menerusi tiga aset utama Maritim iaitu Bot Kilat 28, Perkasa 33 dan Perkasa 32 bagi menghalang pencerobohan nelayan asing, aktiviti penyeludupan dadah, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan kontraban.

Pasukan anggota Maritim Kelantan memeriksa sebuah bot nelayan di perairan negara di Tok Bali, Pasir Puteh. - Foto Sinar Harian
Pasukan anggota Maritim Kelantan memeriksa sebuah bot nelayan di perairan negara di Tok Bali, Pasir Puteh. - Foto Sinar Harian

“Kebanyakan nelayan asing yang dikesan menceroboh negara ini adalah dari Vietnam dan Thailand dengan menggunakan bot pancung berenjin kuasa kuda bagi memudahkan mereka meloloskan diri daripada pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

“Bot penyeludup pula mempunyai ruang penyimpanan yang besar di bahagian bawah lantai bot untuk mereka menyorokkan barangan penyeludupan seperti rokok,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang lima kali pelaksanaan Op Pagar Laut semasa Aidilfitri bermula 2018 sehingga Ahad, sebanyak 11 bot nelayan asing ditangkap dengan nilai rampasan berjumlah RM12.5 juta.

“Bagi kes kontraban dalam tempoh sama, sebanyak dua kes cubaan menyeludup rokok bernilai RM900,000 berjaya dipatahkan menjadikan keseluruhan rampasan bernilai 13.4 juta,” katanya.

Tambahnya, selain operasi di laut, pihaknya turut mengadakan rondaan di kawasan peranginan di pantai-pantai yang menjadi tempat riadah tumpuan pelancong dan perantau.

“Perantau akan bercuti dalam tempoh yang lama kali ini dan pasti melakukan aktiviti riadah di pantai-pantai serta berkemungkinan akan melibatkan kemalangan di laut.

“Maritim juga bersiap sedia dengan operasi mencari dan menyelamat sekiranya berlaku kemalangan di air serta menasihatkan orang ramai supaya mengutamakan keselamatan bagi mengelak kejadian tidak diingini semasa musim perayaan,” katanya.