Jumpa dadah dalam kemalangan maut

Kereta Perodua Myvi yang dipandu mangsa terbalik dan remuk dalam kemalangan di Kilometer 343 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu berhampiran Sungai Pasu di sini, semalam.
A
A

RAUB - Kemalangan maut membabitkan sebuah kenderaan membawa kepada penemuan dadah jenis syabu di Kilometer 343 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu berhampiran Sungai Pasu di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata, dalam kejadian jam 7.10 malam itu, pemandu kereta jenis Perodua Myvi, Wong Zi Qianh, 34 tahun itu maut di tempat kejadian apabila keretanya terbabas sebelum melanggar sebatang tiang elektrik.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa memiliki satu bungkusan yang disyaki dadah jenis syabu anggaran seberat lima gram yang telah diserahkan kepada pihak Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.

"Kita juga turut menjumpai peralatan yang dipercayai digunakan untuk tujuan menghisap dadah di samping mangsa juga mempunyai rekod lampau tangkapan kes positif urin pada tahun 2018," katanya kepada Sinar Harian.

Wan Mohd Zahari berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa yang berasal dari Kampung Seri Penjom, Kuala Lipis itu dari arah Raub menuju ke Kuala Lipis.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian mangsa yang memandu tanpa memiliki lesen memandu yang sah itu dipercayai gagal mengawal kenderaan menyebabkannya melanggar sebatang tiang elektrik dan terbabas ke dalam longkang.

"Mangsa juga dipercayai gagal mengawal kenderaan dengan baik disebabkan memandu dalam keadaan mabuk dan khayal.

"Akibat daripada pelanggaran tersebut, mangsa telah mengalami kecederaan parah dan telah meninggal dunia di tempat kejadian dan mangsa kini sedang kita lakukan post morterm," katanya.

Dalam pada itu, Wan Mohd Zahari berkata, kemalangan tersebut menyebabkan kenderaan mangsa remuk teruk dan telah dibawa ke IPD Raub untuk pemeriksaan Puspakom.

Tambahnya, pihak polis juga turut mengambil keterangan orang awam yang berada di tempat kejadian bagi mendapatkan maklumat mengenai kemalangan tersebut

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(A)(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih kita teruskan," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia