Jangka gangguan rantaian bekalan tambah tekanan inflasi

Gangguan rantaian bekalan global ekoran sekatan pergerakan akibat Covid-19 di China serta perang Rusia-Ukraine yang berterusan mungkin terus meningkatkan kos sekali gus menyebabkan inflasi lebih tinggi. - Gambar hiasan
Gangguan rantaian bekalan global ekoran sekatan pergerakan akibat Covid-19 di China serta perang Rusia-Ukraine yang berterusan mungkin terus meningkatkan kos sekali gus menyebabkan inflasi lebih tinggi. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gangguan rantaian bekalan global ekoran sekatan pergerakan akibat Covid-19 di China serta perang Rusia-Ukraine yang berterusan mungkin terus meningkatkan kos sekali gus menyebabkan inflasi lebih tinggi.

Kenanga Investment Bank Bhd mengekalkan unjuran inflasi keseluruhan Malaysia 2022 pada 2.9 peratus, berasaskan pandemik Covid-19 yang masih menular di China dengan kebanyakan bandar utama mungkin terus mengalami sekatan pergerakan yang ketat dan ini mendorong gangguan selanjutnya ke atas rantaian bekalan.

"Selain itu, walaupun pendedahan Malaysia kepada Rusia adalah rendah, perang yang sedang berlaku di Eropah Timur juga mungkin memberi tekanan langsung ke atas harga pengguna, terutama makanan ruji,” jelasnya dalam nota penyelidikan pada Isnin.

Menurut bank pelaburan itu, indeks harga makanan (FFPI) Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) melonjak 12.6 peratus bulan ke bulan pada Mac dan ia merupakan rekod tertinggi baharu.

"Bagaimanapun, skim kawalan harga kerajaan dan subsidi bahan api mungkin membantu mengurangkan sebahagian kesan kenaikan kos sara hidup buat masa ini,” tambahnya.

Kenanga Investment berpendapat dalam melangkah ke hadapan, Bank Negara Malaysia (BNM) berkemungkinan memutuskan untuk mengekalkan pendirian akomodatifnya semasa mesyuarat dasar pada Mei.

Tindakan itu bertujuan menyokong pemulihan dalam situasi kesuraman prospek ekonomi global semasa dan ketidaktentuan pasaran yang meningkat, jelasnya.

Sementara itu, AmBank Research menjangkakan tekanan inflasi meningkat berterusan bagi sepanjang baki tempoh tahun ini.

Ia menjelaskan sebahagian besar disebabkan oleh tekanan kos seperti harga komoditi, bahan mentah dan tenaga yang tinggi, serta gangguan bekalan dan caj pengangkutan daripada caj muatan lebih yang lebih tinggi.

"Unjuran inflasi kami untuk 2022 adalah di antara 2.8 peratus dengan 3.0 peratus, selain pasaran pekerjaan bertambah baik manakala pengangguran diunjurkan sekitar 4.1 peratus,” katanya.

Potensi harga pemindahan daripada pengeluar kepada pengguna akhir juga berkemungkinan berlaku, tambahnya.

Ambank Research berpendapat bagaimanapun, tekanan meningkat ke atas inflasi akan dibendung melalui subsidi dan penyediaan ruang yang mencukupi untuk BNM mengelak daripada bertindak agresif menerusi dasar kadarnya.

"Kenaikan 25 mata asas pada Julai adalah dijangkakan dengan tujuan menangani perbezaan kadar faedah dan menyediakan beberapa penampan untuk ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.

"Sebarang kenaikan kadar selanjutnya oleh BNM akan didorong oleh data dan persekitaran luaran. Berdasarkan penilaian semasa kami, terdapat hanya 40 peratus kemungkinan bank pusat menaikkan kadar pada September 2022,” jelasnya. - Bernama