Pengarah JAS Johor nafi miliki PhD palsu

Dr Mohammad Ezanni menunjukkan surat pengesahan UniMAP, semalam. - Foto Twitter Bernama
A
A

JOHOR BAHRU - Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh menafikan dakwaan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) diperolehinya adalah palsu.

Beliau berkata, tohmahan di media sosial itu adalah fitnah semata-mata.

"Saya pemegang doktor falsafah dalam bidang kejuruteran sistem elektrik Universiti Malaysia Pelis (UniMAP). Mereka ambil kesempatan atas isu di Sungai Kim Kim," katanya kepada media, di sini, semalam.

Menurutnya, surat pengesahan turut dikeluarkan pihak universiti, kelmarin.

Dalam surat pengesahan itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Ir Dr Rezuwan Kamaruddin memperakukan Mohammad Ezanni dianugerahkan PhD Sistem Elektrik yang menamatkan pengajian 8 September 2015.

Berhubung pertikaian bidang sistem elektrik dengan alam sekitar, beliau menjelaskan, bidang itu ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Saya pemegang biasiswa JPA. Tamat ijazah sarjana muda, saya terus masuk ke perkhidmatan awam dan ditempatkan sebagai pegawai kawalan alam sekitar sejak 2004.

"Dengan JPA ada kontrak di mana saya terpaksa masuk dalam agensi kerajaan," katanya.