'Saya kesal campur tangan SPRM ganggu kebebasan badan kehakiman'

Hassan Abdul Karim
Hassan Abdul Karim
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) campur tangan dengan membuka kertas siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali didakwa sebagai serangan sebuah agensi eksekutif ke atas badan kehakiman.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, SPRM sebagai agensi pencegahan rasuah seharusnya bertanggungjawab untuk bersama mempertahankan kebebasan badan kehakiman Malaysia.

“Saya sebagai ahli Jawatankuasa Mengenai Rasuah (JKMR) SPRM yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong bagi memantau SPRM berasa kesal terhadap campur tangan SPRM mengganggu kebebasan badan kehakiman.

“Hakim-hakim Mahkamah di Malaysia mesti dilindungi daripada tindakan sewenang-wenang pihak eksekutif bagi membolehkan mereka menjalankan fungsi kehakiman tanpa rasa takut dan pilih kasih.

“Apa yang dilakukan oleh SPRM sekarang terhadap Hakim Mohd Nazlan, seorang hakim Mahkamah Rayuan Malaysia bukan sahaja satu pelanggaran prinsip pemisahaan kuasa antara badan eksekutif dan juga badan kehakiman, tetapi ia juga merupakan satu serangan sebuah agensi eksekutif ke atas badan kehakiman,” katanya menerusi kenyataan di muat naik di Facebook pada Isnin.

Pada Sabtu, SPRM telah membuka kertas siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Media melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa siasatan terhadap Mohd Nazlan telah dimulakan berhubung dakwaan wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.

Dalam pada itu, Hassan tidak menafikan di bawah undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, hakim-hakim yang sedang berkhidmat boleh dilucutkan jawatannya jika berlaku salah laku, termasuk kesalahan bersifat jenayah seperti rasuah.

Bagaimanapun, menurutnya, ada kaedah khusus di mana tindakan sedemikian boleh dilakukan iaitu melalui sebuah Tribunal Bebas yang dibentuk oleh kerajaan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Kes Tribunal Bebas yang berkaitan pemecatan Tun Salleh Abas, Ketua Hakim Negara adalah satu contoh.

SPRM perlu menyedari bahawa Hakim Mohd Nazlan dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia atas lantikan Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri.

“SPRM tidak boleh perlakukan sesuka hati ke atas seorang hakim mahkamah hanya berdasarkan wujudnya satu laporan rasmi polis dilakukan ke atas hakim tersebut,” katanya.

Tambah Hassan, peruntukan Perlembagaan Persekutuan jelas meletakkan kaedah bagaimana seorang hakim boleh dibicarakan dan dilucutkan jawatannya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya tindakan SPRM sekarang menyiasat hakim dengan sesuka hati berterusan maka akan menimbulkan ketakutan dan kebimbangan hakim-hakim lain untuk melaksanakan peranan dan tugas mereka di mahkamah.

“Perlu difahami sekarang telah wujud persepsi bahawa tindakan ke atas Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ini ada kaitannya dengan keputusan hakim tersebut ke atas kes pertuduhan terhadap mantan Perdana Menteri, (Datuk Seri) Najib Razak dalam Kes SRC International di mana Hakim Mohd Nazlan telah menjatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun dan denda lebih RM210 juta terhadapnya.

“SPRM sewajarnya tidak terlibat dengan usaha balas dendam pihak-pihak tertentu terhadap Hakim Mohd Nazlan.

“SPRM perlu sedar bahawa terdapat usaha yang konsisten pihak tertentu yang tindak-tanduk mereka boleh dianggap sebagai serangan terhadap kebebasan kehakiman apabila terdapat cubaan dilakukan untuk mencemarkan integriti hakim yang membicarakan kes Najib dengan tujuan keputusan kes SRC International itu dibatalkan dan satu perbicaraan semula diadakan,” jelasnya.

Tegas Hassan, keputusan Hakim Mohd Nazlan dalam Kes SRC International yang mensabitkan kesalahan Najib telah disahkan oleh sebuah panel tiga orang Hakim Mahkamah Rayuan.