Jangan gelakkan orang keluar duit KWSP

Bagi yang tidak mempunyai pilihan­ lain, pengeluaran KWSP adalah antara risiko masa depan yang terpaksa diambil. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
Bagi yang tidak mempunyai pilihan­ lain, pengeluaran KWSP adalah antara risiko masa depan yang terpaksa diambil. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
A
A
A

LEBIH kurang seminggu lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Pastinya pelbagai persiapan sedang rancak dilakukan.

Semuanya itu memerlukan duit yang banyak. Bagi yang masih mempunyai duit simpanan, mungkin tidak mempunyai masalah besar, namun bagi yang kesempitan, terpaksalah memikirkan cara lain untuk mencari duit tambahan.

Sesetengah daripada kita mungkin tidak ada masalah dari segi kewangan tetapi percayalah ada dalam kalangan daripada kita yang menanggung bebanan tersebut.

Lebih-lebih lagi bagi mereka yang terkesan sepanjang pandemik lalu.

Kemudian ditambah pula dengan banjir teruk yang melanda negara sehingga kehilangan dan kerosakan harta benda.

Reda banjir, sesi persekolahan pula dibuka. Tidak lama kemudian, Ramadan menjelma dan kini Syawal pula bakal tiba.

Tidak dinafikan perbelanjaan memang tinggi sejak hujung tahun lalu.

Disebabkan itulah, ada antara kita yang benar-benar berharap kepada duit simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Inilah antara penyambung hayat untuk meraikan hari kemenangan ini dan paling penting kegunaan pada hari-hari seterusnya.

Menurut kajian, ada yang mahu menggunakan wang tersebut untuk dijadikan modal berniaga secara kecil-kecilan.

Ada juga yang mahu melunaskan hutang dan ada juga yang mahu menyimpan sedikit di tempat lain untuk waktu-waktu kecemasan seperti pendidikan dan kesihatan.

Selebihnya saki-baki digunakan untuk meraikan hari kemenangan ini.

Namun, ada juga yang tidak mengeluarkan wang tersebut kerana tidak merasai perkara itu satu keperluan.

Kekal menyimpan di KWSP sebenarnya langkah paling bagus kerana wang itu semakin lama semakin bertambah.

Pun begitu, bagi yang tidak mempunyai pilihan lain, pengeluaran KWSP adalah antara risiko masa depan yang terpaksa diambil.

Justeru, jangan gelak atau menyindir mereka-mereka yang mengeluarkan wang KWSP.

Masing-masing ada alasan tersendiri yang kita mungkin tidak ketahui.

Yang penting, mereka menggunakan wang tersebut untuk dengan sebaik-baiknya, tidak boros dan sentiasa beringat.