Jangan sampai ‘masak’ di atas lebuh raya

Pengguna jalan raya perlu memastikan sentiasa bersabar dan memandu dengan penuh berhemah. - Gambar hiasan
Pengguna jalan raya perlu memastikan sentiasa bersabar dan memandu dengan penuh berhemah. - Gambar hiasan
A
A
A

KEHADIRAN Aidilfitri tahun ini pastinya memberi makna cukup besar buat seluruh umat Islam di Malaysia khususnya anak-anak perantau selepas dua tahun tidak dapat berhari raya di kampung halaman disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19.

Rata-rata pastinya juga sudah merancang untuk pulang sama ada ke negeri kelahiran suami atau isteri masing-masing bagi melepaskan ‘gian’ tidak dapat meraikan Aidilfitri dengan sempurna sejak dua tahun lalu.

Kurang dua minggu daripada sekarang juga, semua laluan lebuh raya sama ada ke timur, selatan atau utara bakal sesak dengan kenderaan yang ingin menuju ke destinasi masing-masing.

Menyedari akan hakikat itu, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menasihatkan pengguna dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi jauh untuk perjalanan pada 29 April hingga 2 Mei ini supaya mematuhi Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) Balik Kampung dan Pulang ke Bandar pada musim perayaan Aidilfitri dengan mula memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, ia untuk mengagihkan trafik dan mengelakkan kesesakan di laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat kerana lebih dua juta kenderaan dijangka melakukan perjalanan sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan.

Menurutnya, jangkaan itu melibatkan peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding 1.6 juta kenderaan sehari yang menggunakan lebuh raya berkenaan.

Katanya, ia memandangkan Syawal ini adalah kali pertama selepas dua tahun menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat Malaysia dibenarkan pulang ke kampung halaman untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Melihat kembali kepada jangkaan lebih dua juta kenderaan akan melakukan perjalanan sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan pada musim perayaan kali ini sudah cukup membayangkan betapa sesaknya nanti.

Justeru, jika tidak ingin terperangkap dan ‘masak’ dalam kenderaan, ikutilah dan patuhilah saranan yang diberikan pihak pengendali lebuh raya itu.

Selain itu, pastikan juga kenderaan diselenggara sebelum memulakan perjalanan yang jauh bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini nanti.

Paling penting juga, dalam situasi yang sudah boleh dijangkakan kesesakan luar biasa itu, pengguna jalan raya perlu memastikan sentiasa bersabar dan memandu dengan penuh berhemah.

Masing-masing mempunyai hala tuju yang sama iaitu ingin meraikan Aidilfitri bersama-sama keluarga tersayang.

Jadi, tetapkan di dalam hati supaya banyak bersabar dan patuhi undang-undang jalan raya yang ditetapkan.