Publisiti murahan cemar kesucian Aidilfitri

No Image Caption
A
A
A

UMUM mengetahui kita akan meraikan Hari Raya Aidilfitri, hari kemenangan umat Islam, seminggu lagi.

Aidilfitri merupakan perayaan terbesar dianugerahkan kepada seluruh umat Nabi Muhammad SAW selepas menjalani proses perbaiki diri melalui ibadah puasa di bulan Ramadan Al Mubarak.

Namun apa yang menyedihkan, ada individu yang membuat onar dengan mencari publisiti murahan sehingga mencemarkan kesucian Aidilfitri.

Nilai-nilai murni dalam meraikan Aidilfitri dikikis rakus dengan mengetengahkan konsep yang tidak sepatutnya.

Sebagai contoh, negara dikejutkan dengan muzik video Aidilfitri seorang usahawan yang melampaui normal kehidupan umat Islam.

Melihat kepada gerak tari dan pakaian para penari, ia seolah-olah mempromosikan gaya hidup bebas dan songsang.

Selebriti terkenal, Adam Corrie Lee yang juga senior koreografi turut tidak bersetuju dengan konsep yang ditonjolkan di dalam muzik video tersebut.

Adam, 58, menerusi laman Facebooknya berkata, jika seseorang individu memahami maksud Hari Raya Aidilfitri, pastinya tidak tergamak untuk berbuat demikian.

“Dua tiga hari ini, saya ternampak dua video lagu raya yang baharu agaknya. Saya agak terkejut dengan gerak tari dan pakaian para penari, penyanyi latar dalam video lagu raya,” katanya.

Menurutnya, koreografi dan penari sepatutnya membuat kajian terlebih dahulu sebelum menerima job dengan mempertimbangkan kesesuaiannya.

“Jika anda seorang yang ada ilmu dan tahu tanggungjawab sosial dalam pekerjaan dan masyarakat, anda berhak bersuara kepada klien menyatakan ia sesuai atau tidak.

“Jangan sampai orang pandang rendah dengan kerjaya kita sebab kita sendiri tidak hormati dan jaga sensitiviti semua pihak,” katanya.

Adam yang berpengalaman selama 38 tahun dalam dunia koreografi sejak tahun 1984 menyeru semua pihak membetulkan niat untuk menyambut hari raya.

Di dalam hantaran tersebut, beliau turut meninggalkan terjemahan ayat al-Quran sebagai peringatan.

“Sesungguhnya ALLAH tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila ALLAH menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia. (QS. Ar-Ra'd: 11),” tulisnya.

Ambil tindakan segera

Sementara itu, pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat dalam muzik video berkenaan.

“Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Agama, Senator Datuk Idris Ahmad dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) harus ambil tindakan tegas, beri amaran dan sihat kepada usahawan terbabit serta penari-penari yang terlibat dalam video muzik tersebut,” tegasnya.

Menurutnya, secara konsisten muzik video tersebut mengetengahkan individu transgender atau bertemakan lelaki lembut yang dikoreografikan sedemikian rupa.

“Sebagai sebuah negara Islam yang menjunjung Rukun Negara serta berteraskan undang-undang syariah, inilah masanya untuk kerajaan mengorak langkah lebih tegas memantapkan polisi memelihara nilai kekeluargaan yang baik,” ujarnya.

Dr Rafidah juga berkata, satu undang-undang ke atas sebarang paparan media yang boleh ditafsirkan sebagai mempromosi gaya hidup orientasi seks songsang dan transgender atau gender ketiga perlu digubal.

“Video-video usahawan itu buat masa ini sepatutnya boleh dikategorikan sebagai kandungan yang jelik dan lucah di internet di bawah Akta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Akta ini memperuntukkan penjara selama setahun, denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali,” jelas beliau.

Penulis juga senada dengan Dr Rafidah dan Adam Corrie bahawa tiada tindakan tegas daripada pihak berkuasa yang menyebabkan mereka memilih untuk memijak undang-undang negara sesuka hati!.

Fikir dan pertimbangkan sebaik-baiknya, ya.

* Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan ialah wartawan Sinar Harian