Lebih 4 juta tunaikan umrah dalam bulan Ramadan

Bilangan umat Islam yang menunaikan umrah dalam tempoh 20 Ramadan tahun ini ialah lebih empat juta orang. - Foto AFP
Bilangan umat Islam yang menunaikan umrah dalam tempoh 20 Ramadan tahun ini ialah lebih empat juta orang. - Foto AFP
A
A
A

RIYADH - Lebih empat juta umat Islam telah menunaikan umrah dalam tempoh 20 hari pertama bulan suci Ramadan, kata seorang pegawai Arab Saudi baru-baru ini.

Menurut Timbalan Ketua di Presidensi Jeneral Hal Ehwal Dua Buah Masjid Suci Untuk Pengurusan Jemaah, Osama Mansour, sejak permulaan Ramadan sehingga hari yang ke-20, seramai 4.2 juta jemaah dibenarkan menunaikan umrah.

Beliau berkata, agensi-agensi yang berwibawa telah mengoptimumkan kapasiti operasi masing-masing untuk memberikan perkhidmatan kepada jemaah umrah sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Osama merujuk tentang perkhidmatan bersepadu yang disediakan untuk jemaah haji dan jemaah di Masjidil Haram, Mekah.

Pihak berkuasa Arab Saudi baru-baru ini melonggarkan sekatan Covid-19 untuk tujuan menunaikan umrah dalam bulan Ramadan.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah menarik balik beberapa langkah berjaga-jaga termasuk membatalkan permit untuk bersolat di Masjidil Haram dan melawat Masjid Nabawi di Madinah.

Ia juga menyatakan bahawa pemeriksaan data imunisasi untuk memasuki Masjidil Haram dan Masjid Nabawi telah dibatalkan.

Selain itu, kementerian itu telah membatalkan pendaftaran data imunisasi yang pernah diwajibkan ke atas umat Islam dari luar negara untuk mendapatkan permit umrah. - Agensi