Pengalaman ajar Noor Fatiha lebih tenang

Mubarak menyampaikan sijil kepujian kepada Noor Fatiha sambil diperhatikan Aminuddin (tengah).
Mubarak menyampaikan sijil kepujian kepada Noor Fatiha sambil diperhatikan Aminuddin (tengah).
A
A
A

SEREMBAN – Jika namanya anggota keselamatan, di mana-mana pun rasa tanggungjawab memberi khidmat itu tetap ada meskipun berada di luar waktu tugasan.

Itulah yang ditunjukkan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Koperal Noor Fatiha Arshad, 29, yang bertindak pantas menyelamatkan penumpang dalam kejadian kebakaran feri ketika perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis, pada 25 Februari lalu.

Berikutan keberaniannya itu, Noor Fatiha menerima Sijil Kepujian Ketua Pesuruhjaya Pertahanan Awam sempena Hari Ulangtahun Pertahanan Awam ke-67 di APM Negeri Sembilan di sini, semalam.

Sijil berkenaan disampaikan oleh Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Mubarak Dohak.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Mengimbau kembali kejadian Noor Fatiha berkata, ketika itu dia berada dalam feri yang sama untuk pulang sebaik selesai menghadiri program Perasmian Kompleks APM di Pulau Langkawi.

“Tiba-tiba saya terbau asap dan terdengar bunyi letupan. Saya sendiri takut sebenarnya, tapi secara automatik beranikan diri bantu tenangkan penumpang.

“Pada masa itu, saya nampak seorang remaja trauma dan saya tenangkan dia sebelum masuk semula ke dalam feri untuk mengambil jaket keselamatan. Saya antara individu terakhir keluar dari feri berkenaan selepas semua penumpang keluar,”katanya.

Artikel Berkaitan:

Noor Fatiha yang bertugas di APM Kulim, Kedah berkata, pengalaman selama tujuh tahun bergelar sukarelawan APM mengajarnya supaya lebih tenang berdepan situasi cemas.

Katanya, ilmu dan latihan yang dijalani selama ini memberinya kelebihan untuk mengawal situasi itu biarpun di luar waktu tugasan.

“Saya tak harapkan sebarang pengiktirafan atas apa yang saya lakukan. Saya hanya beri khidmat sebagai anggota keselamatan.

“Tapi penghargaan ini buatkan saya lebih bersemangat untuk lebih aktif membantu komuniti,”katanya.

Dalam kejadian pada 25 Februari lalu, sebuah feri yang membawa 52 penumpang dari Terminal Feri Langkawi menuju ke Kuala Perlis terbakar di kawasan perairan berdekatan Kuah.

Feri berkenaan dikatakan baharu sahaja bertolak sebelum bahagian enjinnya mengalami kerosakan dan mengeluarkan asap tebal pada jam 2.45 petang.