Rancang perkenal industri, teknologi dron dalam silibus pendidikan

Dr Adham (tengah) dan Norlizah dalam Program CSR Sekolah Angkat 'Fly With Meraque' di Dewan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) Pejabat Cawangan Bandar Tenggara, Kota Tinggi, pada Ahad.
Dr Adham (tengah) dan Norlizah dalam Program CSR Sekolah Angkat 'Fly With Meraque' di Dewan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) Pejabat Cawangan Bandar Tenggara, Kota Tinggi, pada Ahad.
A
A
A

KOTA TINGGI - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) merancang untuk memperkenalkan industri dan teknologi dron dalam silibus pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, tujuannya bagi melahirkan lebih ramai pelapis dan penggiat industri berkenaan pada masa depan.

Katanya, pihak Mosti akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan (KPM) berkenaan perkara itu sebelum satu memorandum berkenaan STEM akan dibawa kepada Kabinet dalam masa terdekat.

“Saya dimaklumkan KPM akan bawa memorandum jemaah menteri terhadap STEM dan penggunaannya kepada kerajaan.

“Di situ kita (Mosti) akan beri ulasan supaya teknologi seperti reka bentuk, penggunaan 'artificial intelligence' dimasukkan seawalnya dalam kurikulum dan kokurikulum sekolah.

“Memorandum berkenaan diarahkan untuk dibawa dalam masa terdekat untuk bincang semula apa yang ada dalam STEM dan Mosti akan beri ulasan untuk perkemaskan lagi STEM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Sekolah Angkat 'Fly With Meraque' di Dewan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) Pejabat Cawangan Bandar Tenggara, dekat sini pada Ahad.

Turut hadir Exco Pendidikan, Penerangan Dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Omar Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Meraque Services Sdn Bhd, Razali Ismail.

Dr Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata, setakat ini teknologi dron belum dimasukkan dalam silibus sains secara rasmi.

“Belum lagi, tapi dulu kita tahu ada 'Formula 1 In Schools', sekarang ini dengan adanya teknologi dron, saya bersama-sama JPNJ dan Exco pendidikan Johor memulakan usaha, supaya aktiviti yang berkaitan kokurikulum dalam sekolah, dalam institut pengajian tinggi ataupun kemahiran yang dibekalkan kepada masyarakat.

“Jadi kita berusaha supaya dalam masa terdekat ini ada teknologi seperti ini. Tapi saya difahamkan dalam kurikulum rekabentuk, ada rekabentuk dron ini juga diambil kira dalam silibus," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pinang Bandar Tenggara, SMK Sultan Alauddin Bukit Besar dan SMK Taman Scientex Pasir Gudang dipilih sebagai sekolah angkat oleh pihak Meraque Sdn Bhd dalam usaha memajukan industri dron dan teknologi berkaitan dengannya pada majlis berkenaan.