Jurutera rugi RM61,450 diperdaya individu menyamar pegawai LHDN, PDRM

 Elias Omar
Elias Omar
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang jurutera kerugian RM 61,450 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 8 April lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintenden Elias Omar berkata, mangsa yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Kulim dihubungi seorang wanita yang mengaku pegawai LHDN berhubung satu tunggakan cukai atas syarikat mangsa sebanyak RM36,600.90.

Menurutnya, panggilan telah disambungkan kepada seorang lelaki yang mengaku pegawai polis berpangkat Inspektor dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang (IPK Pahang) untuk membuat pengesahan selepas mangsa menafikan tentang tunggakan cukai tersebut.

"Mangsa kemudiannya diarahkan untuk memberikan maklumat peribadi milik mangsa dan sekiranya mangsa gagal berbuat demikian, satu waran tangkap akan dikeluarkan terhadap mangsa.

"Ekoran percaya, mangsa telah diminta untuk memindahkan wang miliknya ke akaun bank yang dibekalkan bagi tujuan semakan sumber kewangan tersebut sama ada dari sumber kewangan yang sah atau sebaliknya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Elias berkata, hasil siasatan mendapati mangsa mengaku telah mendedahkan maklumat perbankan akaun bank miliknya dan kata laluan kepada suspek.

"Mangsa juga telah memindahkan wang ke akaun bank yang diberikan oleh suspek bermula 9 hingga 16 April sehingga mengalami kerugian berjumlah RM61,450.

"Selain itu, mangsa juga diarahkan oleh suspek untuk melapor diri setiap empat jam kepada suspek bagi memastikan mangsa berada di bawah kawalan suspek,"katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dengan curangnya mendorong supaya harta diserahkan yang membawa kepada hukuman penjara dari 10 tahun dan dengan sebatan serta boleh juga dikenakan denda.

Dalam perkembangan sama, Elias menasihatkan orang awam agar jangan sesekali percaya sepenuhnya dengan sebarang panggilan yang diterima mengaku dari mana-mana jabatan kerajaan atau

institusi kewangan.

Orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi sendiri ke jabatan berkenaan untuk pengesahan dan membuat semakan status akaun di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my>semakmule sebelum membuat sebarang urusan.