Sila log masuk terlebih dahulu.

Malaysia, Thailand tingkat kerjasama pacu pemulihan ekonomi

Mustapa (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Arkhom Termpittayapaisith selepas mesyuarat di Kementerian Kewangan di Bangkok pada Jumaat. - Foto Bernama
Mustapa (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Arkhom Termpittayapaisith selepas mesyuarat di Kementerian Kewangan di Bangkok pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

MALAYSIA dan Thailand komited untuk mengukuhkan kerjasama mereka berkaitan perdagangan, pelaburan dan pelancongan untuk memacu pemulihan ekonomi pasca Covid-19 di kedua-dua negara, dalam persekitaran konflik Rusia-Ukraine yang berterusan dan tekanan inflasi global.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pencerobohan Rusia ke atas Ukraine telah menjejaskan pemulihan ekonomi Malaysia dan Thailand pasca Covid-19 berikutan ia telah menyebabkan lonjakan harga pelbagai komoditi, terutamanya minyak, gas dan bijirin.

Katanya, Bank Dunia telah menurunkan unjuran pertumbuhan global tahunannya untuk 2022 daripada 4.1 peratus kepada 3.2 peratus manakala Tabung Kewangan Antarabangsa turut menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi dunia daripada 4.4 peratus kepada 3.6 peratus pada tahun ini.

Beliau berkata, inflasi Amerika Syarikat meningkat kepada 8.5 peratus pada Mac manakala inflasi tahunan kawasan Euro turut mencecah satu lagi paras tertinggi sebanyak 7.5 peratus dalam tempoh sama berikutan perang di Ukraine.

"Persekitaran global terus amat mencabar, mewujudkan kebimbangan bahawa inflasi yang lebih tinggi akan merebak ke negara lain, memberi tekanan kepada bajet dari segi subsidi.

"Dalam konteks Malaysia dan Thailand, kita perlu meningkatkan perdagangan dan pelancongan (kerjasama).

"Pelancongan adalah perniagaan yang besar; jika sektor pelancongan pulih dengan lebih cepat, ia akan membantu memudahkan pertumbuhan ekonomi,” katanya kepada Bernama dalam lawatan kerja selama dua hari ke Bangkok, Thailand yang berakhir pada Sabtu.

Pada Jumaat, Mustapa bertemu dengan Menteri Kewangan Thailand Arkhom Termpittayapaisith dan Setiausaha Agung Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Danucha Pichayanan untuk membincangkan pembangunan ekonomi pasca Covid-19 dan projek infrastruktur di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Mustapa menyambut baik langkah Thailand membatalkan ujian RT-PCR bagi ketibaan antarabangsa untuk individu lengkap vaksinasi mulai 1 Mei, dan menyatakan bahawa Malaysia akan turut mengumumkan kelonggaran prosedur operasi standard yang seterusnya tidak lama lagi.

"Sekatan perjalanan yang dilonggarkan akan meningkatkan aliran pelancongan dan merangsang pertumbuhan ekonomi, tetapi ia akan mengambil sedikit masa untuk kembali kepada tahap sebelum Covid-19,” katanya.

Menurut Tourism Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia, Malaysia menerima 1,884,306 pengunjung dari Thailand pada 2019, tetapi jumlah tersebut merosot kepada 394,413 pada 2020 dan malah, terus jatuh kepada 59,607 pada 2021.

Mustapa berkata, Thailand merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di dunia dan kedua terbesar di ASEAN, dengan nilai dagangan sebanyak RM98 bilion pada 2021 manakala Malaysia adalah rakan dagang keempat terbesar Thailand di dunia.

Dalam lawatannya, Mustapa dibawa melawat ke TRUE Digital Park, hab teknologi dan permulaan terbesar di Asia Tenggara di Phra Khanong, Bangkok.

Beliau turut bertemu dengan Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand (MTCC) serta wakil daripada CIMB Thailand dan Charoen Pokphand Group Company Ltd.

Setakat ini, terdapat 1,000 syarikat Malaysia beroperasi dalam pelbagai sektor, termasuk pembuatan, perbankan, penerbangan dan perkhidmatan lain di Thailand.

Dari 2017 hingga 2021, pelaburan syarikat Malaysia di Thailand berjumlah RM4.94 bilion manakala pelaburan syarikat Thailand di Malaysia berjumlah RM2.19 bilion.

Pemain utama termasuklah CIMB, AirAsia, Petronas, RHB Bank, AAPICO Hitech Plc and Subsidiaries, Charoen Pokphand (CP) Malaysia, Kemaman Oil Corporation Sdn Bhd, Energy Oleochemicals dan Bintulu Fertilizer.

Pada Februari, Malaysia dan Thailand mengesahkan komitmen mereka untuk menggalakkan perdagangan dan pelaburan dua hala; bekerjasama rapat untuk mencapai sasaran perdagangan dua hala sebanyak AS$30 bilion menjelang 2025. - Bernama