Polis jamin siasatan terperinci kemalangan tiga remaja maut

Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Kamarul Zaman)
Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Kamarul Zaman)
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Polis Johor akan menjalankan siasatan dalam semua aspek berhubung kes tiga remaja maut kemalangan motosikal di Taman Kota Masai di sini, pada malam Jumaat.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan terbabit penting bagi memastikan keadilan kepada semua pihak.

Katanya, ia termasuk dakwaan keluarga salah seorang mangsa yang mengatakan mangsa tidak pernah terlibat dalam kegiatan lumba haram

"Kita akan siasat demi keadilan. Kawasan itu memang salah satu kawasan 'hot spot' yang digunakan (untuk berlumba), jalan tersebut tidak ada halangan dan sebagainya. Siasatan lebih terperinci akan dijalankan untuk kes ini, saya harap keluarga bersabar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri yang baharu, di sini pada Ahad.

Kamarul Zaman turut meminta, orang ramai agar sentiasa memandu secara berhemah dengan mematuhi undang- undang di jalan raya serta tidak terpengaruh untuk berlumba.

"Jangan pandu berbahaya, pandu kenderaan secara berhemah terutama menjelang Aidilfitri ini. Bukan tidak boleh bawa motosikal pada jam 3 ke 4 pagi, tetapi tunggang secara berhemah," katanya.

Sebelum itu, tiga remaja maut manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan melibatkan empat motosikal di Jalan Delima, Taman Kota Masai di sini pada malam Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak menerusi kenyataan memaklumkan, tiga mangsa yang maut merupakan remaja bawah umur berusia antara 15 hingga 16 tahun manakala seorang lagi yang parah berusia 17 tahun.

Kejadian kira-kira pada jam 10.30 malam itu berlaku semasa mereka menunggang motosikal telah bersaing sesama sendiri sebelum bergesel dan mengakibatkan kemalangan.

Akibat insiden tersebut, tiga mangsa telah tercampak di atas jalan dan terlanggar batu berumput di bahu kiri jalan manakala seorang mangsa jatuh di batu berumput di bahu kanan jalan.