Yayasan Bank Rakyat sumbang RM20,000 kepada golongan B40

Rahman (kiri) bersama kepimpinan Bahagian Sabak Bernam menyampaikan sumbangan ke penerima bantuan.
Rahman (kiri) bersama kepimpinan Bahagian Sabak Bernam menyampaikan sumbangan ke penerima bantuan.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Bank Rakyat menyumbang sejumlah RM20,000 kepada 200 penerima bantuan golongan B40 yang terdiri daripada fakir dan anak-anak yatim dari Parlimen Sabak Bernam.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Bank Rakyat (YBR), Datuk Abd Rahman Bakri berkata, bantuan itu diberikan sempena menghidupkan bulan Ramadan dalam kalangan mereka.

Selain itu, satu majlis berbuka puasa juga dianjurkan bagi meraikan 1,000 tetamu termasuk 200 penerima sumbangan serta kehadiran pemimpin-pemimpin masyarakat di sekitar Parlimen Sabak Bernam.

Turut hadir sama dalam program ini adalah Ketua Bahagian Operasi Menanggung Tugas Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani serta Pengurus Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Pada masa sama, Abd Rahman juga telah hadir ke program Bubur Lambuk di Kampung Tebuk Tengah, Banting, Sabak Bernam dan sebanyak 6,400 bungkusan bubur lambuk telah diedarkan di sekitar Parlimen Sabak Bernam pada petang Sabtu.

Dalam pada itu, Abd Rahman juga mengajak seluruh penduduk Parlimen Sabak Bernam untuk hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri Sabak Bernam yang akan diadakan pada 28 Mei nanti.

“Saya berharap agar sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini akan lebih meriah apabila kerajaan telah memberikan kebenaran pulang kepada rakyat untuk pulang ke kampung halaman bertemu sanak saudara.

“Warga kota yang pulang ke kampung halaman dinasihatkan mengambil rehat yang secukupnya sebelum mula memandu ke destinasi masing-masing.

“Ini kerana, kebanyakan punca-punca kemalangan disebabkan keletihan, pemandu yang tidak cukup rehat dan mengantuk,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.