[VIDEO] Tukang emas tidak lena tidur siapkan tempahan

Kakitangan MZ Gold menunjukkan sebahagian daripada barangan kemas yang menjadi pilihan pada Aidilfitri kali ini.
Kakitangan MZ Gold menunjukkan sebahagian daripada barangan kemas yang menjadi pilihan pada Aidilfitri kali ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Seramai 50 tukang emas tidak tidur malam untuk menyiapkan tempahan barang kemas bagi memastikan para pelanggan tampil bergaya pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini yang dijangka meriah selepas dua tahun rakyat Malaysia dilarang pulang ke kampung meraikan lebaran berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Urusan Mz Gold Sdn Bhd, Murtadhatumizi Mustapha berkata, permintaan luar biasa Syawal kali ini menyebabkan pihaknya terpaksa menutup tempahan pada hari ketujuh Ramadan.

"Hal ini bagi mengelakkan pihak kami gagal menyiapkan tempahan sekali gus menghampakan para pelanggan," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Sebahagian tukang emas sedang menyiapkan tempahan barang kemas bagi memastikan para pelanggan tampil bergaya pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Sebahagian tukang emas sedang menyiapkan tempahan barang kemas bagi memastikan para pelanggan tampil bergaya pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Menurutnya, kesemua tukang-tukang emas itu akan mula bekerja seawal jam 3 petang dan pulang ke rumah selepas selesai bersahur.

Beliau berkata, untuk musim perayaan tahun ini pihaknya menerima lebih 2,000 tempahan melibatkan rantai, gelang dan cincin telah diterima sejak 1 Ramadan lalu.

Murtadhatumizi berkata, tren pembeli barangan kemas pada Aidilfitri kali ini cukup berbeza apabila ia lebih kepada gaya eksklusif.

"Gaya ini mengikut citarasa diinginkan pelanggan berbanding reka bentuk yang telah sedia ada di pasaran sebelum-sebelumnya.

Murtadhatumizi (kanan) bersama kakitangannya memeriksa sebahagian daripada barang kemas yang siap diproses.
Murtadhatumizi (kanan) bersama kakitangannya memeriksa sebahagian daripada barang kemas yang siap diproses.

"Citarasa eksklusif melibatkan ukiran nama milik si pemakai, bunga-bungaan dan situasi itu menyaksikan kesemua tukang-tukang terpaksa bersengkang mata untuk menyiapkan tempahan sehari sebelum hari raya," katanya.

Menurutnya, pembelian emas terpakai turut menjadi pilihan dalam kalangan wanita di negeri ini untuk dipakai pada hari lebaran.

"Kelebihan pembelian emas terpakai ini kualiti sama seperti yang baharu, menariknya ia tanpa upah," katanya.