Alam Flora rai 60 anak pekerja

Mohd Zain (berdiri (tengah) turut serta bersama peserta sehingga hari kedua dan sempat memberikan tazkirah selepas selesai solat Isyak berjemaah.
A
A

RAUB - Alam Flora punya cara tersendiri menghargai jasa dan bakti warga kerjanya dengan mengadakan ‘Alam Flora Nature Camp 2018: Eco Superstar, There Is No Plan B’ buat anak-anak pekerja bukan eksekutif di Tanah Aina Fahad, Ulu Dong Raub Pahang, baru-baru ini.

Program mengumpulkan 60 peserta berusia 12 tahun hingga 16 tahun itu berjaya memberikan keceriaan dan mengisi aktiviti cuti sekolah mereka.

Seawal jam 7.30 pagi, peserta dari Kuala Lumpur, Shah Alam dan Putrajaya berkumpul di Wisma DRB-HICOM untuk bergerak ke tapak perkhemahan menaiki sebuah bas jam 9 pagi dan tiba dua jam kemudian.

Menyusul setengah jam kemudian adalah sebahagian peserta yang menaiki sebuah bas berasingan terdiri anak pekerja dari Pahang.

Beruntungnya peserta, diberikan peluang menginap di tapak kem yang harga pakej penginapan bagi seorang peserta bernilai RM1,000.

Meski bermalam dalam khemah, namun kesemua peserta bukan tidur beralas kanvas sebaliknya berkatil empuk lengkap kipas dan lampu.

Penganjur telah menyusun program tiga hari dua malam itu dengan jadual padat sehingga peserta tidak sempat untuk merasa bosan, malah tak sempat juga berlapar apabila pihak kem menyediakan makanan empat kali sehari.

Selain modul ice breaking, kuiz dan taklimat 3R (reduce, reuse, recycle, peserta diwajibkan terlibat dengan persembahan berkumpulam Drama Muzikal bertemakan Hijau, selain projek kitar semula baju lama dijadikan beg.

Selain modul pengetahuan, peserta didedahkan aktiviti lasak termasuk paintbal, pendakian dan explorace.

Rata-rata peserta memberikan isyarat bagus tanda berpuas hati dan gembira dipilih menyertai program ekslusif namun penuh bermanfaat.

Seorang peserta juga pelajar dari SMK Tengku Abdullah Pekan, Nurshabrina Mohd Asmawi,16 berkata, dia bertuah kerana tiga kali menyertai kem anjuran Alam Flora.

“Saya tak pernah tolak setiap kali ditawarkan menyertai kem ini kerana seronok dan tidak membosankan. Pengisian program juga sentiasa berubah-ubah membolehkan kita sentiasa mempelajari perkara baru.

“Contohnya buat beg kitar semula menggunakan baju terpakai, benda ini tak ada dalam kem sebelumnya dan boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian menggantikan penggunaan plastik sebagai salah satu cara memelihara alam sekitar,” katanya.

Tambahnya, program juga membolehkannya lebih memahami dan menghargai pekerjaan orang tuanya yang terlibat dalam sektor pembersihan.

Hal itu dipersetujui seorang lagi peserta, K Dinesh,16 pelajar SMK Setapak yang menambah keyakinan untuknya berbangga dengan pekerjaan bapanya.

“Saya tak malu bapa saya bekerja di Alam Flora kerana kerjanya mulia dan tanpanya bumi akan dipenuhi sampah kerana tiada sesiapa yang sanggup untuk menjaga alam.

“Program juga mendidik kami sebagai pelajar untuk bersama-sama memelihara alam, menjaga kebersihan dan mengurangkan pembuangan sampah melalui konsep 3R yang mudah dipraktikkan di rumah,” katanya.

Peserta dipandu meredah hutan dalam program pendakian pada hari kedua.

Bagi murid darjah 6 Sekolah Rendah Bandar Anggerik Seksyen 6 Shah Alam, Dhia Batrisya Mohd Khirulnizam,12, pengalaman pertama kali melakukan aktiviti luar bersama rakan-rakan baru dianggap menyeronokkan.

“Saya gembira kerana dapat berkawan dengan peserta dari pelbagai negeri, belajar kitar semula dan pupuk semangat kerjasama dengan rakan sepasukan melibatkan aktiviti berkumpulan.

“Saya harap program ini berterusan supaya kami dapat mengisi masa cuti sekolah dengan aktiviti luar ada tahun-tahun berikutnya,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan berkata, program tersebut memasuki edisi ke-7 dan kali ini bertemakan There is No Plan B.

“Pemilihan tema kali ini adalah bagi memberitahu kepada anak-anak yang kita tiada pilihan selain menjaga bumi.. Kita hanya ada satu bumi dan tiada tempat lain yang boleh menggantikan muka bumi ini.

“Kita mahu anak-anak ini memahami peranan mereka sebagai individu yang bertanggungjawab menjaga alam sekitar, mahu mereka faham tugas ibu-bapa mereka di Alam Flora adalah penting, jadi perlu sama-sama membantu menjaga kebersihan,” katanya.

Katanya, program tersebut akan diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha meneruskan kesedaran menjaga alam sekitar.

“Program ini tak nampak kesan pada masa singkat tapi melalui penyertaan lebih 300 peserta sepanjang program tahunan ini kesannya mampu dilihat pada masa akan datang.

"Melalui pendedahan amali dan praktikal, mereka melihat lebih dekat proses kitar semula dan kompos sisa makanan untuk dijadikan baja. Insya-ALLAH kita akan teruskannya pada masa akan datang,” katanya.