Najib ulangi desakan agar kerajaan kaji dasar TH

Hantaran Najib di Facebook beliau pada pagi Ahad.
Hantaran Najib di Facebook beliau pada pagi Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi desakannya agar kerajaan mengkaji semula keputusan yang dibuat kerajaan terdahulu iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) bahawa Lembaga Tabung Haji (TH) tidak akan meniaga dan hanya melabur dalam aset-aset simpanan tetap.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, dasar berkenaan akan menghadkan jumlah pendapatan TH dan kadar hibah kepada penyimpan setiap tahun.

"Saya bimbang jika dasar ini tidak dikaji semula, maka harga pakej haji kepada jemaah akan terus naik pada tahun-tahun datang dan antara matlamat utama TH iaitu untuk memperkasakan ekonomi ummah tidak akan tercapai.

"Kerajaan sebenarnya banyak kuasa untuk memberi peluang yang baik kepada TH untuk menjana lebih keuntungan," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada pagi Ahad.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan TH memperkenalkan dua kategori kadar bayaran bagi jemaah haji muassasah yang pertama kali mengerjakan haji bermula tahun ini.

Bayaran sebanyak RM10,980 perlu dibayar oleh jemaah daripada golongan B40 iaitu peningkatan sebanyak RM1,000, manakala bayaran sebanyak RM12,980 dikenakan bagi jemaah bukan B40 iaitu melibatkan peningkatan sebanyak RM3,000.

Mengulas lanjut, Najib memaklumkan, sebagai contoh keuntungan berkenaan dijana dengan pembelian tanah projek Tun Razak Exchange (TRX) oleh TH daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Biarpun ia telah dijadikan propaganda oleh PH masa itu kononnya TH terpaksa membayar harga yang tinggi bagi tanah tersebut untuk 'bailout' 1MDB tetapi hakikatnya ialah tanah tersebut sebenarnya dijual dengan harga lebih murah kepada TH.

"Akhirnya tanah yang dibeli dengan harga RM188 juta pada tahun 2015 telah dijual TH dengan harga lebih tinggi (sekitar RM400 juta) pada tahun 2019 zaman PH," dakwa beliau.

Menurut Najib, memandangkan projek serta infrastruktur di TRX semakin siap dan semakin menarik, harga tanah serta potensi projek pembangunan atas tanah tersebut juga semakin tinggi.

"Jika tidak dijual pada tahun 2019, keuntungan yang mampu dijana sekiranya TH membangunkan projek atas tanah tersebut adalah jauh lebih tinggi," katanya.

Najib menegaskan, beliau pernah meramalkan pada permulaan tahun 2019 semasa pentadbiran PH bahawa hibah dan pendapatan TH tidak akan tinggi lagi pada tahun-tahun mendatang seperti pada zaman Barisan Nasional (BN).

Katanya, ia apabila PH serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH lantikan parti itu mengeluarkan kenyataan bahawa tugas TH hanya untuk kerja mengendalikan jemaah umrah menunaikan ibadah haji kali pertama dan TH tidak perlu untuk berniaga atau melabur lagi.

"Maka pendapatan dan hibah TH untuk tahun-tahun mendatang akan konsisten pada tahap tiga peratus setiap tahun kerana pulangan dari aset simpanan tetap cuma antara 4 hingga 5 peratus.

"Ditambah pula oleh kerugian TH sebanyak RM19.8 bilion yang disebabkan oleh propaganda memakan diri kerajaan PH dahulu (termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia) hanya sebab mahu serang kerajaan BN sehingga TH perlu 'dibailout' kerajaan PH melalui syarikat milik Kementerian Kewangan dan terpaksa menjual aset-aset seperti Hotel TH," katanya.

Ujar beliau, akibatnya TH tidak mampu lagi menampung penuh subsidi bagi kos haji dan terpaksa menaikkan harga kepada jemaah bagi tahun ini.

Katanya, ia jauh berbeza dengan sepanjang tempoh beliau bergelar Perdana Menteri yang mana kos haji pada jemaah tidak pernah naik.