Kerajaan teliti kesan larangan Indonesia eksport minyak sawit

Jeck Seng (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada pengerusi masjid dan surau Parlimen Tanjung Piai di Dewan Tuanku Ibrahim Ismail di Pekan Nanas pada Sabtu.
Jeck Seng (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada pengerusi masjid dan surau Parlimen Tanjung Piai di Dewan Tuanku Ibrahim Ismail di Pekan Nanas pada Sabtu.
A
A
A

PONTIAN - Kerajaan akan menilai kesan jangka pendek dan panjang terhadap langkah diambil Indonesia melarang eksport minyak sawit dan bahan mentahnya ke luar negara bagi menangani permintaan domestik di negara itu.

Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata, Indonesia merupakan negara pengeksport minyak sawit terbesar di dunia pada tahun lalu.

Katanya, pengeluaran dan eksport minyak sawit negara itu masing-masing 59 peratus dan 56 peratus daripada pengeluaran dan eksport minyak sawit dunia.

Justeru, beliau berkata, Malaysia selaku negara pengeluar dan pengeksport minyak sawit kedua terbesar dunia, melihat langkah terbaharu yang diambil oleh Indonesia itu bakal meningkatkan permintaan eksport ke atas minyak sawit Malaysia.

"Susulan masalah pengeluaran minyak sawit yang dihadapi Malaysia pada ketika ini akibat kekurangan tenaga buruh, negara tidak mampu menampung permintaan eksport yang tinggi yang ditinggalkan oleh Indonesia.

“Akibatnya, ketidakseimbangan permintaan dan penawaran bakal berlaku. Ia dijangka menyebabkan harga minyak sawit dan minyak-minyak pesaing lain melonjak ke paras yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri program penyampaian sumbangan kepada Masjid-Masjid dan Surau Parlimen Tanjung Piai di Dewan Tuanku Ibrahim Ismail di Pekan Nanas, di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Tan Eng Meng; Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Piai, Syahrulzaman Ibrahim dan Ketua Wanita, Zarina Mohamad Bain.

Jeck Seng yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai berkata, ketika ini pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) yang mampu dikeluarkan oleh Malaysia setahun sekitar 17 juta tan disebabkan faktor ketiadaan pekerja di sektor perladangan.

"Peningkatan permintaan eksport ini mampu memberi cabaran kepada industri hiliran sawit tempatan di Malaysia memandangkan persaingan untuk mendapatkan bekalan bahan mentah.

“Saya berharap kementerian dapat mengkaji dan meneliti kesan seterusnya daripada tindakan Indonesia yang membuat satu keputusan drastik sebagaimana diumumkan oleh Presiden, Joko Widodo," katanya.

Jelas beliau, negara masih bergantung kepada permintaan dan penawaran minyak sawit dunia dan keperluan bagi tempatan (domestik) hanya satu juta tan setahun bagi pengeluaran minyak masak bersubsidi.

Katanya, sebagai negara pengeluar dan pengeksport utama minyak sawit dan produk-produk hiliran berasaskan sawit, kerajaan akan terus melindungi kelangsungan dan kebolehsaingan industri sawit tempatan di peringkat global termasuk industri hiliran.

Pada Jumaat, Presiden Indonesia, Joko Widodo mengumumkan pelan untuk melarang eksport minyak sawit dan bahan mentahnya sebagai langkah bagi menangani kekurangan bekalan domestik dan menstabilkan harga.