Lebih 60 peratus kemalangan maut babit penunggang motosikal

Lebih 60 peratus daripada jumlah keseluruhan kemalangan maut di seluruh negara sejak tahun 2019 sehingga 2021 adalah melibatkan penunggang motosikal. (Gambar kecil: Lokman Jamaan)
Lebih 60 peratus daripada jumlah keseluruhan kemalangan maut di seluruh negara sejak tahun 2019 sehingga 2021 adalah melibatkan penunggang motosikal. (Gambar kecil: Lokman Jamaan)
A
A
A

SERI KEMBANGAN - Penunggang motosikal secara purata menyumbang lebih 60 peratus daripada jumlah keseluruhan kemalangan maut di seluruh negara sejak tahun 2019 sehingga 2021.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata, sepanjang tempoh tersebut sebanyak 15,340 kematian membabitkan kemalangan maut dicatatkan dengan 10,189 atau 66.42 peratus daripada jumlah itu terdiri daripada pengguna motosikal.

"Jumlah keseluruhan kemalangan maut pada 2019 adalah sebanyak 6,167, 2020 (4634) dan 2021 sebanyak 4,539 kematian dicatatkan di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu setiap tahun penunggang motosikal menyumbang lebih 60 peratus daripada jumlah terbabit iaitu sebanyak 3,959 kematian melibatkan penunggang motosikal pada 2019, tahun 2020 (3,118), dan 2021 sebanyak 3,112," katanya ketika ditemui di Plaza Tol Sungai Besi arah selatan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena program advokasi keselamatan penunggang motosikal, Pra Ops Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) 2022 sebelum ops tersebut secara rasminya dikuatkuasakan bermula 29 April hingga 8 Mei.

Katanya, bermula 29 April, tindakan tegas akan dikenakan terhadap pesalah trafik terutama yang melakukan enam kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

"Operasi berkenaan bukan bertujuan untuk menyusahkan mana-mana pihak sebaliknya objektif Ops HRA tersebut adalah untuk memastikan pesalah trafik tidak menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.

"Kita mahu memastikan perjalanan balik setiap orang ke kampung halaman sentiasa sihat dan selamat serta berhemah. Saya berpuas hati tahap keberkesanan tempoh advokasi ini kepada penunggang motosikal dan kita akan berada di mana-mana sahaja sempena bulan Syawal nanti," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan turut bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjayakan Ops HRA tersebut.

Tambahnya, JPJ akan menjalankan pemeriksaan ketat di terminal bas ekspres untuk memastikan aspek keselamatan pengguna pengangkutan awam tersebut dijaga untuk mengelakkan sebarang malapetaka tidak diingini menjelang Aidilfitri.