Penduduk harap baki tahanan ditemui sebelum Aidilfitri

Penduduk setempat melakukan pencarian etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap di sekitar kawasan Bukit Relau Hulu Jawi. - Foto Bernama. (Gambar kecil: Jasmi, Azmi)
Penduduk setempat melakukan pencarian etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap di sekitar kawasan Bukit Relau Hulu Jawi. - Foto Bernama. (Gambar kecil: Jasmi, Azmi)
A
A
A

BANDAR BAHARU - Penduduk Kampung Relau di sini berharap baki tahanan etnik Rohingya yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap di sini dapat ditemui semula sebelum tibanya Hari Raya Aidilfitri pada 3 Mei depan.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pekan Relau, Jasmi Salleh berkata, ini berikutan perasaan bimbang dan takut masih menyelubungi penduduk walaupun sebahagian besar tahanan terbabit telah ditemui semula setakat ini.

Katanya, walaupun etnik berkenaan bukan dikategorikan sebagai penjenayah, namun dalam keadaan terdesak mereka mampu bertindak di luar jangkaan.

"Mereka pasti kelaparan, jadi untuk dapatkan makanan mereka boleh melakukan apa sahaja termasuk mencuri dan pecah rumah," katanya ketika ditemui di sini pada Sabtu.

Menurutnya, sebagai langkah keselamatan, pihak KRT telah meningkatkan pemantauan dan kawalan pada waktu malam.

"Kira-kira 20 orang petugas KRT akan berkawal pada setiap malam di kawasan kampung dengan dibantu pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Kita harap baki 80 orang tahanan berkenaan dapat segera ditemui dan seterusnya memberi kelegaan kepada penduduk yang tinggal di kawasan ini," katanya.

Azmi Majid, 49, berkata, sejak tahanan etnik berkenaan lolos Rabu lalu, mereka tidak lena tidur kerana bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga.

"Raya pun dah nak dekat, jadi saya harap sangat penguat kuasa terlibat dapat mencari baki tahanan terbabit sebelum Aidilfitri.

"Sudah dua tahun kita tak boleh beraya, bila dapat beraya timbul pula kes sebegini," katanya.

Azmi menambah, dia juga tidak menyangka kesemua tahanan terbabit boleh bertindak sedemikian sehingga menyebabkan ada yang maut akibat kemalangan.

"Setahu saya mereka ini dijaga dengan baik sepanjang dalam tahanan, tidak tahu apa yang mendorong mereka bertindak merusuh sebegitu," katanya.

Nor Sabrina
Nor Sabrina

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Nor Sabrina Mohd Noor menasihati penduduk agar segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terserempak dengan tahanan terbabit.

"Penduduk kena faham tahanan ini perlu diserahkan kepada Imigresen, jangan pula ada yang ambil mereka bekerja di ladang atau jadi pembantu rumah.

"Bila ternampak kelibat mereka atau ada terima maklumat lapor segera kepada pihak penguat kuasa supaya mereka ini dapat ditahan dengan segera," katanya.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad dalam satu kenyataan berkata, seramai 80 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Sementara Imigresen Relau di Bandar Baharu di sini masih belum ditemukan setakat Jumaat.

Katanya, jumlah tahanan yang belum ditemui itu membabitkan 65 lelaki, lapan wanita dan tujuh kanak-kanak perempuan.