Rakyat Malaysia ternanti-nanti pengumuman kelonggaran SOP

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

MENJELANG Aidilfitri yang bakal disambut pada awal Mei nanti, rakyat Malaysia sudah pastinya ternanti-nanti pengumuman kelonggaran tiga prosedur operasi standard (SOP) utama yang diguna pakai sejak negara dilanda pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, ia membabitkan SOP berhubung pemakaian pelitup muka di tempat awam, mengimbas kod QR MySejahtera dan keperluan menjalani ujian saringan pantas antigen (RTK-Ag) di lapangan terbang.

Katanya, pengumuman itu bakal meliputi sama ada SOP berkenaan perlu diteruskan atau sebaliknya serta tiga perkara terbabit sedang diteliti dan dibincangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Ada tiga perkara besar, saya tidak pasti bila ia akan diumumkan, namun KKM sedang berbincang serta bermesyuarat mengenai pelitup muka, MySejahtera dan sama ada perlu melakukan ujian PCR/RTK sebaik saja tiba di lapangan terbang atau ketika memasuki pusat beli-belah atau mana-mana tempat awam.

"Tunggulah, kita akan umum. Kita doakan berita gembira," katanya kepada pemberita selepas melawat sebuah pusat perlindungan kanak-kanak pada Sabtu.

Menyentuh mengenai pemakaian pelitup muka di tempat awam, timbul tanda tanya adakah Malaysia akan mengikut jejak langkah negara jiran iaitu Singapura yang baru-baru ini mengumumkan bahawa orang ramai tidak diwajibkan lagi memakai pelitup muka ketika berada di luar bangunan di republik itu kerana risiko jangkitan adalah jauh lebih rendah.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dilaporkan berkata, pemakaian tersebut bagaimanapun masih diwajibkan ketika berada di dalam bangunan.

Jadi, besar kemungkinan juga Malaysia bakal mengikut jejak langkah Singapura dalam isu pemakaian pelitup muka ini.

Selain daripada itu, negara juga kini sedang dalam fasa peralihan endemik dan seharusnya pemakaian pelitup muka ini tidak lagi diwajibkan.

Apa yang penting adalah orang ramai perlu sedar tentang tanggungjawab mereka bagi mengelakkan dijangkiti Covid-19.

Tentang mengimbas kod QR MySejahtera pula, amalan tersebut sepatutnya dihentikan kerana negara juga telah beralih ke fasa endemik.

Pembehentian amalan ini juga pernah dibangkitkan oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dengan menyatakan bahawa fungsi pengesanan kontak rapat dalam aplikasi MySejahtera tidak lagi berguna seperti pada fasa awal pandemik Covid-19.

Presiden MMA, Dr Koh Kar Chai berkata, ini disebabkan kes jangkitan yang tinggi dalam komuniti direkodkan pada masa ini.

“Dengan jumlah kes positif yang tinggi dalam kalangan dan sekeliling kita, pengesanan kontak tidak lagi boleh digunakan pada skala yang luas kerana ia tidak akan memberikan hasil yang diharapkan,” katanya.

Bagaimanapun, bagi keperluan menjalani ujian saringan pantas antigen (RTK-Ag) di lapangan terbang, ia seharusnya diteruskan oleh kerajaan.

Ini disebabkan, ia merupakan satu langkah pencegahan yang boleh diambil negara ini kerana bimbang sekiranya muncul varian baharu yang lebih merbahaya dan pantas merebak daripada yang sedia ada.

Jadi, sama-samalah kita menunggu pengumuman ‘sesuatu’ yang bakal dibuat oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada minggu depan.

Diharapkan ada pengumuman yang baik mengenai perkara ini menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.