Sila log masuk terlebih dahulu.

Giliran Arsenal bedil United

Saka (dua dari kanan) meraikan jaringannya bersama rakan-rakan sepasukannya di Stadium Emirates sebentar tadi.
Saka (dua dari kanan) meraikan jaringannya bersama rakan-rakan sepasukannya di Stadium Emirates sebentar tadi.
A
A
A

EPISOD duka Manchester United berterusan apabila mengalami kekalahan 1-3 kepada Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates sebentar tadi.

Kekalahan itu nyata menambah duka The Red Devils selepas kecundang 0-4 di tangan Liverpool di Anfield pada awal pagi Rabu lalu.

Dalam lima aksi terakhir liga, United hanya mampu meraih satu kemenangan dengan tiga lagi perlawanan berakhir kekalahan dan satu seri.

Satu-satunya kemenangan yang dicipta United adalah ketika menewaskan kelab tercorot, Norwich City 3-2 di Old Trafford pada 16 April lalu.

Dalam pertemuan menentang Arsenal, United ketinggalan seawal minit ketiga apabila pemain pertahanan, Nuno Tavares meledak gol pembukaan The Gunners.

United tambah tertekan apabila Arsenal memperoleh gol kedua hasil sepakan penalti pemain sayap lincah, Bukayo Saka pada minit ke-32.

Bagaimanapun, United berjaya merapatkan jurang gol apabila Cristiano Ronaldo merobek gawang Arsenal berselang dua minit kemudian.

United berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-60, namun sepakan penalti yang diambil Bruno Fernandes sekadar mengenai tiang gol tatkala penjaga gol Arsenal, Aaron Ramsdale sudah tertewas.

Artikel Berkaitan:

Pada ketika United ghairah melancarkan serangan bagi memburu gol penyamaan, Granit Xhaka menyentap semangat The Red Devils apabila menyumbat gol ketiga Arsenal.

Menerusi satu serangan balas, Xhaka berjaya meledak gol menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti bagi menewaskan penjaga gol United, David de Gea pada minit ke-70.

Dengan kemenangan itu, Arsenal kembali melonjak di tangga keempat apabila mengumpul 60 mata manakala United kekal menghuni tangga keenam dengan 54 mata.