315 permohonan GPKS berjumlah RM2.6 juta diluluskan tahun ini

Awang
Awang
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan meluluskan sejumlah 315 pemohonan Geran Pembangunan Kesatuan Sekerja (GPKS) di seluruh negara bagi tahun ini dengan nilai peruntukan RM2.6 juta.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, geran yang diluluskan itu sebagai insentif membantu lebih banyak kesatuan sekerja di negara ini untuk melaksanakan aktiviti termasuk bagi bagi perkembangan pendidikan serta meningkatkan kemahiran.

"Kalau ikut pemohonan yang diterima tahun ini banyak dalam 613 tetapi selepas dibuat tapisan hanya 315 yang berjaya menerima geran berkenaan. Bagi yang tidak berjaya, mungkin mereka boleh membuat pemohonan pada tahun hadapan pula.

"Diharapkan bantuan kerajaan dalam bentuk geran ini dapat menggalakkan perkembangan pendidikan dan pembelajaran secara berterusan khususnya bagi meningkatkan kemahiran berkesatuan dalam kalangan pemimpin dan anggota kesatuan sekerja,” katanya kepada Bernama pada Sabtu.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Outreach Kesatuan Sekerja dan menyampaikan geran itu bagi Zon Utara Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) di sini.

Awang berkata, daripada 315 pemohonan itu, sebanyak 47 permohonan geran itu diluluskan dengan nilai RM210,100 bagi negeri Zon Utara yang meliputi Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan juga sedang dalam proses membuat pindaan kepada Akta Kesatuan Sekerja 1959 (Akta 262) dan berharap ia akan disokong sepenuhnya oleh semua kesatuan sekerja.

"Usaha meminda akta ini merupakan satu pindaan yang penting dan pindaan ini akan mewujudkan kerangka perundangan yang menyokong penubuhan dan pentadbiran kesatuan sekerja yang matang, progresif dan relevan,” katanya. - Bernama