Kelantan FC dituntut kekal momentum

Kelantan FC muncul pendahulu Liga Premier selepas mengharungi lima perlawanan setakat ini.
FOTO: FB TRW KELANTAN FC
Kelantan FC muncul pendahulu Liga Premier selepas mengharungi lima perlawanan setakat ini. FOTO: FB TRW KELANTAN FC
A
A
A

KETUA Jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya mahu barisan pemainnya terus menampilkan aksi konsisten bagi mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu Liga Premier musim ini.

Beliau berkata, prestasi semasa dan komitmen dipamerkan pemain ketika ini memperlihatkan keputusan positif, sekali gus memberi keyakinan bahawa tiga mata penuh akan menjadi milik mereka apabila bertemu PDRM FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras pada Ahad.

"Saya mahu pemain kekalkan momentum kemenangan dan lebih bersemangat terutama barisan penyerang supaya dapat menjaringkan gol untuk membawa pulang tiga mata penuh menentang PDRM FC esok.

"Jika kita menang, pastinya ia dapat menjarakkan kedudukan dengan pencabar terdekat Johor Darul Ta’zim (JDT) II," katanya pada Sabtu.

Selepas lima perlawanan, Kelantan FC berada pada kedudukan teratas liga dengan mengumpul 12 mata hasil empat kemenangan dan satu kekalahan.

Mengulas lanjut, Rezal berkata, meskipun berada pada tangga teratas, pasukannya tidak boleh berasa selesa kerana liga masih panjang dan segala kemungkinan boleh terjadi sekiranya pemain tidak memberi fokus ketika perlawanan.

"Perkara penting adalah prestasi pemain ketika perlawanan, kerana semua pasukan dilihat mempunyai peluang menjadi juara dan kami perlu kekal dengan momentum sekarang.

"Saya cuba senaraikan pelbagai pemain dalam setiap perlawanan mengikut prestasi semasa latihan kerana saya akan memberi peluang kepada semua pemain untuk beraksi," katanya. - Bernama