Malaysia wakili sekumpulan negara dalam mesyuarat menteri kewangan

Foto Facebook Tengku Zafrul
Foto Facebook Tengku Zafrul
A
A
A

WAKIL Malaysia telah diberikan amanah untuk mewakili sekumpulan negara dalam sesi perbincangan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Menteri-Menteri Kewangan yang ke-105, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau yang baru-baru ini berada di Washington D.C., Amerika Syarikat bagi menghadiri Mesyuarat-Mesyuarat Musim Bunga Bank Dunia-IMF minggu ini telah diberi kepercayaan untuk mewakili Brunei, Fiji, Indonesia, Laos, Myanmar, Nepal, Singapura, Thailand, Tonga dan Vietnam.

Mesyuarat itu memfokuskan kepada isu berkaitan pendigitalan dan pembangunan; memastikan pinjaman oleh kerajaan di serata dunia mampu memainkan peranan untuk pembangunan termasuk kestabilan makroekonomi serta beberapa perkara membabitkan perkembangan operasi tindak balas dalam krisis COVID-19.

"Semasa perbincangan, saya telah menyuarakan pendapat mengenai beberapa cabaran terkini yang telah menghalang pemulihan ekonomi global tahun ini.

"Gangguan rantaian bekalan dan inflasi yang meningkat serta ketidakpastian yang berterusan di sebalik varian COVID-19 baharu, mungkin menghalang pemulihan ekonomi yang dijangkakan akan meninggalkan kesan yang lebih mendalam," katanya menerusi catatan di laman Facebook rasmi beliau, hari ini.

Zafrul berkata Malaysia serta negara yang diwakili beliau menyambut baik keutamaan yang dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan hari ini.

"Secara keseluruhan, saya telah berkongsi pendapat bagaimana dalam jangka masa pendek, tindakan pelbagai hala yang tuntas dan komprehensif diperlukan untuk menangani krisis hutang yang semakin meruncing.

"Saya juga telah menekankan bahawa di masa hadapan, pendigitalan akan menjadi pendorong utama kepada agenda untuk Pembangunan Hijau, Berdaya Tahan dan Inklusif," tambah beliau.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Zafrul berkata Amazon Web Services (AWS) telah menyatakan komitmen syarikat itu untuk melabur di Malaysia.

Menerusi satu catatan di Twitter, Zafrul berkata AWS komited untuk melabur dalam pembangunan pusat data serantau dan juga program berkaitan syarikat pemula niaga serta modal teroka.

"Komitmen ini dinyatakan semasa lawatan saya di Washington. Saya turut diberi taklimat oleh Shannon Kellogg yang mengetuai bahagian Dasar Awam AWS berkaitan pembangunan ibu pejabat mereka yang baharu, HQ2," katanya. - Bernama