Sukan Asia 2022 berjalan seperti biasa

Mohamad Norza
Mohamad Norza
A
A
A

KHABAR angin yang mengatakan Sukan Asia Ke-19 yang akan berlangsung di Hangzhou, China bakal ditangguhkan ke tarikh lain adalah tidak benar.

Perkara itu itu disahkan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria selepas pihaknya, melakukan siasatan termasuklah menghubungi pihak terbabit bagi mengetahui situasi sebenar mengenai perkara tersebut.

Menurut Norza, Sukan Asia yang dijadualkan 10 hingga 25 September akan berlangsung seperti dirancang meskipun diberitahu kes Covid-19 di negara tersebut semakin meningkat.

“Kita sudah membuat siasatan sendiri termasuk menghubungi terus penganjur dan pihak berkaitan. Mereka sahkan tidak ditunda atau dibatalkan.

"Oleh itu, sukan Asia akan berlangsung seperti biasa,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Pakaian Rasmi Kontinjen Malaysia 2022 di Wisma MOM pada Sabtu.

Terdahulu, terdapat ura-ura yang mengatakan Sukan Asia 2022 di China berkemungkinan akan ditunda ke tahun hadapan susulan peningkatan kes Covid-19 yang melanda China ketika ini.

Menurut seorang pegawai kepada AFP, bagaimanapun belum ada keputusan rasmi lagi dibuat oleh jawatankuasa sehingga kini.

Sebelum ini, kebanyakan acara sukan antarabangsa di negara itu juga ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19 walaupun Beijing menganjurkan Sukan Olimpik Musim Sejuk pada Februari lalu dengan peraturan ketat.