Pas Leak: UMNO pandang serius, anggap cuba lumpuhkan parti

Ahmad
Ahmad
A
A
A

PONTIAN – UMNO memandang serius dokumen Pas Leak walaupun ada segelintir pihak yang beranggapan ia hanya catatan biasa dan tidak penting sehingga dilabelkan sebagai 'sampah'.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Pas Leak dilihat umpama paluan gendang perang secara senyap bagi melumpuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) daripada memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

"Jangan mengambil mudah atau ‘ enteng’ setiap perkara yang direncanakan oleh pihak lawan kerana mereka juga berhasrat untuk menguasai semula Putrajaya selepas PRU15.

"Meskipun Pas Leak dianggap segelintir pihak sebagai isu kecil, tetapi tidak sama sekali bagi UMNO yang melihatnya ia satu cabaran kepada kepada pimpinan UMNO serta 3.3 juta ahli parti," katanya.

Beliau ditemui pada program memasak bubur manis di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Parit Keroma, di sini pada Sabtu.

Ahmad (tiga dari kiri) menuang bubur manis ke dalam bekas plastik anjuran Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parit Keroma pada Sabtu.
Ahmad (tiga dari kiri) menuang bubur manis ke dalam bekas plastik anjuran Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parit Keroma pada Sabtu.

Sebelum ini, tular di media sosial beberapa keratan dokumen didakwa merupakan minit mesyuarat Pas yang mempunyai pelan atau gerak kerja parti itu untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Dua pemimpin Pas dan Perikatan Nasional (PN) iaitu Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin turut memberikan maklum balas dengan menyifatkan Pas Leak sebagai dokumen sampah.

Manakala Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, menyifatkan dokumen Pas Leak bukan sesuatu yang luar biasa dan tidak perlu diperbesarkan.

Ahli Parlimen Pontian itu seterusnya, meminta ahli-ahli UMNO mengambil tahu dengan serius isu Pas Leak yang bertujuan untuk menghalang UMNO dan BN dari memenangi PRU15.

"Dokumen ini, tidak timbul ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang menyaksikan PN gagal untuk memenangi kedua-dua PRN tersebut, tetapi mengapa perkara ini terdedah.

“Ini tentunya menjadi dorongan kepada PN dan Pas untuk bersiap dari awal bagi menghadapi PRU15, setelah gabungan antara Bersatu, Pas dan Gerakan tewas pada PRN di kedua-dua negeri itu sebelum ini,” katanya.