Pemilik haiwan perlu bertanggungjawab

Lee Lam Thye
Lee Lam Thye
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua pemilik haiwan peliharaan harus bertanggungjawab terhadap kesejahteraan haiwan di bawah jagaan mereka atau bersedia menghadapi tindakan didakwa di bawah Akta Kebajikan Haiwan (AWA) 2015.

Penaung Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor, Tan Sri Lee Lam Thye berkata meskipun pelbagai program kesedaran mengenai kebajikan haiwan dilancarkan, kejadian penganiayaan terhadap haiwan atau haiwan ditinggalkan masih berlaku.

"Orang awam harus sedar bahawa membuang haiwan peliharaan adalah perbuatan kejam dan pelakunya boleh didakwa di bawah Akta Kebajikan Haiwan (AWA) 2015.

"Di bawah AWA 2015, semua pemilik haiwan peliharaan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesejahteraan haiwan di bawah jagaan mereka, termasuk penginapan, penjagaan kesihatan dan penamakan yang sesuai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Lee, pemilik atau orang yang ingin membela haiwan peliharaan perlu sedar bahawa mereka mempunyai tanggungjawab besar jika mempunyai haiwan peliharaan.

"Walaupun pelbagai kempen dan program dijalankan, kesedaran dan pendidikan kebajikan haiwan perlu bermula di sekolah dan dalam hubungan ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Kementerian Pendidikan boleh memainkan peranan dalam membincangkan bagaimana untuk menanam dan memperkasakan pendidikan kebajikan haiwan di sekolah," katanya. -Bernama

Artikel Berkaitan: