Pulau Pinang nafi mesej tular mengenai sumbangan i-Sejahtera

Program i-Sejahtera tidak menyasarkan khusus kepada golongan B40 seperti yang didakwa.
Program i-Sejahtera tidak menyasarkan khusus kepada golongan B40 seperti yang didakwa.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan negeri Pulau Pinang menafikan mesej yang tular di media sosial termasuk aplikasi WhatsApp dan Telegram berhubung sumbangan i-Sejahtera yang tidak tepat dan boleh menimbulkan salah faham kepada orang awam.

Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh berkata, program i-Sejahtera tidak menyasarkan khusus kepada golongan B40 seperti yang didakwa.

Jelasnya, bagi Program Penghargaan Warga Emas, semua pengundi berdaftar dalam Pulau Pinang yang berumur 60 tahun ke atas layak menerima sumbangan sebanyak RM200 bermula tahun 2022 tanpa mengira status B40, M40 ataupun T20.

"Secara ringkasnya program-program i-Sejahtera merupakan sumbangan penghargaan daripada kerajaan negeri kepada rakyat Pulau Pinang dan bukanlah program bantuan yang dikhususkan terhad kepada golongan B40 sahaja," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Sabtu.

Boon Poh berkata, bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan program-program i-Sejahtera yang lain berserta syarat dan jumlah sumbangan boleh layari laman web rasmi berikut https://isejahtera.penang.gov.my/.

Katanya, orang ramai juga boleh terus merujuk kepada Pejabat Perkhidmatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau ahli Parlimen terdekat bagi mendapatkan info yang sahih dan tepat.