Agong berkenan kurnia watikah pelantikan kepada 15 ahli majlis MAIM

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bergambar kenangan bersama Ahli Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sempena Majlis Pengurniaan Watikah MAIM, pada Sabtu. - Foto Bernama

A
A
A

MELAKA -Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Sabtu berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada 15 ahli Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di sebuah hotel di sini sempena lawatan hari terakhir selama dua hari ke negeri ini.

Hadir sama menyaksikan pengurniaan itu adalah Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Mengetuai penerima ialah Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali selaku Pengerusi MAIM diikuti Timbalan Pengerusi MAIM Datuk Md Rawi Mahmud.

Antara yang turut menerima watikah pelantikan ialah Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil dan Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah.

Pelantikan yang mula berkuat kuasa 20 April 2020 hingga Oktober 2022 itu mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri Melaka.

Pada majlis itu Al-Sultan Abdullah turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada Masjid Al Azim, Masjid Al Sultan Abdullah dan Surau Batu, Ujong Pasir. - Bernama