SEMy2030 garis hala tuju pembangunan Keusahawanan Sosial Negara

Ismail Sabri melawat reruai perusahaan sosial yang diketengahkan sempena Majlis Pelancaran Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial Malaysia 2030 (SEMy2030) di ibu negara, pada Jumaat.
Ismail Sabri melawat reruai perusahaan sosial yang diketengahkan sempena Majlis Pelancaran Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial Malaysia 2030 (SEMy2030) di ibu negara, pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 atau SEMy2030 yang dilancar pada Sabtu menyediakan hala tuju nasional yang baharu kepada pembangunan keusahawanan sosial di Malaysia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, rangka berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan kerangka kawal selia dan tadbir urus yang efektif untuk memastikan perusahaan sosial mempunyai tanggungjawab dan akauntabiliti selain membina kepercayaan rakyat dan sektor swasta.

Perdana Menteri berkata, SEMy2030 menggariskan lima objektif yang sejajar aspirasi, strategi dan inisiatif ditetapkan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-12.

"Dalam memastikan pencapaian objektif dan sasaran dasarnya, SEMy2030 telah membangunkan lima teras strategik, 20 strategi dan 45 inisiatif. SEMy2030 turut menetapkan deskripsi baharu perusahaan yang lebih inklusif selaras dengan ciri-ciri perusahaan sosial di peringkat global," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan SEMy2030 di sini pada Sabtu. Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar.

Rangka yang dibangunkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu juga merupakan asas untuk membangunkan sebuah ekosistem yang komprehensif dan kondusif dalam menyokong pertumbuhan keusahawanan sosial di Malaysia.

"Pelan ini turut menggariskan inisiatif untuk meningkatkan kesedaran, jangkauan dan pembudayaan konsep keusahawanan sosial yang berdaya maju dan memberi impak positif kepada peningkatan kehidupan masyarakat.

"Bagi memastikan perusahaan sosial mampu berkembang dan lebih berdaya saing, SEMy2030 turut menggariskan strategi bersasar untuk meningkatkan keupayaan dan kompetensi perusahaan sosial,” katanya.

Ismail Sabri berkata, ini termasuklah penyediaan latihan adaptasi teknologi dan pendigitalan yang lebih berstruktur, peluasan akses kepada pembiayaan dan sokongan kewangan serta penyediaan fasilitasi untuk akses kepada pasaran domestik dan antarabangsa.

Katanya, kerajaan melalui KUSKOP juga akan melaksanakan semakan semula dan menambah baik kerangka pendaftaran dan akreditasi perusahaan sosial sedia ada supaya mendapat akses lebih luas terhadap bantuan dan peluang berkembang maju ke hadapan.

Sebelum itu mengimbas sejarah keusahawanan sosial di Malaysia, Ismail Sabri berkata, ia mula bertapak di Malaysia sejak 1922 apabila Enakmen Syarikat Bekerjasama-sama 1922 diwartakan sebelum digantikan dengan Akta Koperasi 1948.

"Berbeza dengan sektor koperasi dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), perkembangan keusahawanan sosial di Malaysia masih di peringkat awal. Banyak elemen penting termasuk kerangka kawal selia, infrastruktur kewangan dan jaringan keselamatan kewangan masih belum tersedia,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, di sebalik pelbagai isu dan cabaran dihadapi keusahawanan sosial negara, Malaysia berpotensi besar dalam membangunkan lebih banyak perusahaan sosial tempatan, malah dengan bantuan kerajaan, beberapa perusahaan sosial di negara ini telah mencapai kejayaan.

Beliau memberi contoh seperti Helping Hands Penan Shop yang berjaya memperkasakan kaum wanita Penan dengan memberi peluang kepada mereka untuk menjana pendapatan melalui penghasilan pelbagai produk kraftangan.

Contoh lain, katanya ialah MyMedikal Healthcare yang menawarkan perkhidmatan kepada golongan kurang bernasib baik yang tidak mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan termasuk di Sabah.

"Kerajaan menyedari potensi dan peranan penting keusahawanan sosial dalam memacu pertumbuhan sosioekonomi negara. Sehubungan itu, sebuah dasar dan objektif nasional jangka panjang perlu diwujudkan.

"Perusahaan sosial hendaklah terus diperkasa dan dimantapkan peranannya bagi mendepani cabaran dan perubahan luar jangka, selain melonjakkan prestasi mereka ke tahap lebih tinggi seiring dengan keperluan dan tuntutan masyarakat serta alam sekitar,” katanya.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berharap semua pihak berkepentingan dalam pembangunan keusahawanan sosial terutamanya agensi awam dan swasta, pelabur impak sosial serta badan-badan korporat memberi sokongan, kerjasama dan komitmen yang padu dan berterusan.

Perdana Menteri turut berharap lebih ramai generasi muda terutamanya golongan belia serta graduan sebagai golongan pelapis, turut menggembleng idea dan tenaga bagi memperkasa keusahawanan sosial di Malaysia.

"Harapan saya menjelang 2030, perusahaan sosial akan diiktiraf sebagai penyumbang penting dalam membangunkan Malaysia yang makmur, inklusif dan mampan,” katanya. - Bernama