18 PATI baru mendarat tunggu e-hailing diberkas

Antara PATI yang ditahan oleh anggota Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Long Beach Morib di sini pada Jumaat.
Antara PATI yang ditahan oleh anggota Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Long Beach Morib di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LANGAT - Seramai 18 pendatang tanpa izin (PATI) yang sedang menunggu untuk dijemput oleh perkhidmatan e-hailing ditahan oleh anggota Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Long Beach Morib di sini pada Jumaat.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed berkata, pihaknya menahan dua lelaki warga asing pada jam 3 pagi di Long Beach Morib.

"Hasil siasatan, kita menemui tujuh individu warga asing yang bersembunyi di kawasan bakau dan menahan sembilan lagi warga asing di kawasan berhampiran," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Rizal berkata, pihaknya menahan 11 lelaki dan tujuh wanita warga asing berusia 15 hingga 47 tahun.

"Pemeriksaan mendapati kesemua individu terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

"Mereka dipercayai baharu masuk ke negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan iaitu jalan Iaut dengan menggunakan bot," katanya.

Menurutnya, Morib sebelum ini menjadi kawasan 'hotspot' dan PATI terbabit membayar antara RM1,600 hingga RM2,500 bagi setiap seorang kepada ejen masing-masing.

Jelasnya, warga Rohingya pula tidak dikenakan bayaran kerana dipercayai telah dibayar oleh sindiket dari Myanmar.

"Kesemua PATI yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63.

"Masyarakat diseru agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada PDRM berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang," katanya.