Polis buru pemilik kilang warga Singapura

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor sedang mengesan seorang pemilik kilang warga Singapura bagi membantu siasatan kes melupuskan sisa bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim, di Pasir Gudang, awal bulan ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu kini diletakkan dalam senarai orang dikehendaki dan pihaknya telah memohon bantuan pihak berkuasa Singapura untuk menahan lelaki tersebut.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini, beliau berkata lapan daripada 11 individu ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah didapati tidak terbabit dalam insiden pencemaran bahan toksik di sungai berkenaan.

Dalam pada itu, seorang pemandu lori dan dua pengarah syarikat mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan membuang dan bersubahat melupuskan bahan sisa toksik ke dalam sungai tersebut pada 7 Mac lalu.

Mohd Khalil juga menegaskan anggota dan pegawai yang terbabit dalam siasatan kes tersebut telah bekerja keras untuk menahan suspek berasaskan fakta yang diperolehi, sekali gus menepis dakwaan segentir netizen kononnya pihak polis hanya 'wayang’ berhubung kes itu.

”Kita buat kerja seikhlas hati, sebaik mungkin. Kita tidak tangkap orang sesuka hati, mesti ada fakta dan apabila kita tangkap dengan fakta, kita juga mesti ada dapat jaminan pertuduhan, baru kita tuduh di mahkamah,” katanya.

Justeru, beliau meminta netizen supaya jangan mengguris hati anggota dan pegawai yang bertungkus lumus untuk cuba menyelesaikan kes itu dengan kadar segera. - Bernama

Artikel Berkaitan: