UMNO anggap 'khemah besar' saingan

Mahdzir (tiga kiri) menyampaikan Bantuan Ekonomi Program Tranformasi Desa dan Pengeupayaan Komuniti kepada warga KEDA di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Naka, Padang Terap pada Jumaat.
Mahdzir (tiga kiri) menyampaikan Bantuan Ekonomi Program Tranformasi Desa dan Pengeupayaan Komuniti kepada warga KEDA di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Naka, Padang Terap pada Jumaat.
A
A
A

KUALA NERANG - UMNO tidak memandang rendah strategi Pakatan Harapan (PH) untuk mewujudkan kerjasama 'khemah besar' bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 walaupun tidak semudah membuat goreng pisang.

Menurut Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, persediaan wajar dilakukan sekiranya kerjasama yang mahu diwujudkan oleh parti lawan berjalan seperti yang dirancang.

"Dalam politik orang tidak akan berhenti memikirkan strategi. Dalam politik juga ada dua perkara iaitu 'never stop thinking' dan 'the art of possibility'.

"Saya fikir strategi 'khemah besar' yang dirancang oleh Pakatan Harapan untuk hadapi pilihan raya akan datang tidak semudah menyediakan pisang goreng. Apa sekalipun kita tetap anggap ia persaingan dan kita akan hadapinya," katanya pada sidang akhbar di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Naka, dekat sini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata demikian selepas Majlis Iftar Bersama Warga Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) pada petang Jumaat.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, parti lawan akan mencari jalan setiap kali menjelang pilihan raya dan strategi 'khemah besar' adalah sebahagian daripadanya.

Pada Isnin lalu media melaporkan Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, bahawa konsep 'khemah besar 'yang dicadangkan PH sebelum ini tidak merangkumi penyatuan atau kerjasama dengan parti-parti yang berada dalam kerajaan sama ada UMNO, Bersatu dan Pas.

Tegasnya, kerjasama itu adalah soal penyatuan dan kerjasama parti-parti pembangkang bagi menghadapi PRU15.

Sementara itu, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap enggan mengulas lanjut berhubung dokumen 'PasLeaks' yang tular mengandungi dakwaan percaturan termasuk untuk mencampuri urusan kehakiman.

Menurutnya, kesahihan dokumen tersebut yang turut menyentuh masa depan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga belum dapat dipastikan lagi.

"Kita pun tak tahu dokumen itu betul atau tidak, jadi saya tak boleh komen lanjut," ujarnya.