BN juga perlu cari formula untuk 'khemah besar'

Annuar - Foto Bernama
Annuar - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Barisan Nasional (BN) juga perlu mencari satu formula untuk memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, sekiranya Pakatan Harapan (PH) sedang merangka cadangan penubuhan khemah besar kalangan pembangkang, BN juga wajar mencari formula kemenangan yang bersesuaian.

Menurutnya, oleh kerana semua pihak meramalkan akan berlaku PRU15 semua parti kini sedang tercari-cari formula kemenangan untuk menyelamatkan parti masing-masing.

"Jadi tak perlu kita anggap 'khemah besar' itu sebagai perkara yang terlalu luar biasa. Pada saya ia suatu kebiasaan, kalau pihak lain sedang cuba formula kemenangan mereka, kita perlu anggap ia sebagai lumrah yang harus kita duga lebih awal," katanya pada sidang akhbar selepas majlis iftar bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia di sini pada Jumaat.

Ditanya sama ada kewujudan khemah besar PH kelak akan menjadi ancaman kepada BN pada PRU15, Annuar tegaskan semua gerak kerja parti lawan merupakan ancaman kepada sesebuah parti yang bertanding.

"Tugas dia untuk menjadi ancaman kepada BN, BN juga ancaman kepada mereka sebenarnya, jadi apa yang peliknya.

"Sejak bila kita masuk PRU tak ancam antara satu sama lain, yang penting bagaimana untuk kita lakar strategi dan meletakkan kedudukan kita," katanya.

Menurutnya lagi, politik adalah sesuatu yang sangat dinamik dan tidak statik.

"Ibarat dua orang bersilat, orang sana buka langkah macam ni, kita pula buka langkah macam ni, bergantung pada keadaan," katanya.

Mengulas sama ada BN juga memerlukan sebarang pendekatan seperti khemah besar untuk bersaing pada PRU15, Annuar menyerahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan parti untuk memutuskannya.

"Khemah besar atau khemah kecik, prinsipnya mudah saja. Saya adalah orang parti dan saya akan ikut apa jua keputusan parti.

"Apa yang parti putuskan, kita sebagai ahli wajib patuh," ujarnya lagi.