Penumpang kapal persiaran rosak diselamatkan guna helikopter

Kapal persiaran Viking Sky mengalami masalah kegagalan enjin di pantai barat Norway, semalam. - FOTO AFP
Kapal persiaran Viking Sky mengalami masalah kegagalan enjin di pantai barat Norway, semalam. - FOTO AFP
A
A
A

OSLO - NORWAY.Sebuah kapal persiaran mewah yang mengalami masalah kegagalan enjin dalam keadaan cuaca buruk di pantai barat Norway ditunda ke pelabuhan hari ini selepas ratusan penumpangnya diselamatkan menggunakan helikopter.

Kapal persiaran Viking Sky dengan 1,373 penumpang dan kru dilapor berlayar dari Tromso ke Stavanger semalam ketika ia mengalami kerosakan di kawasan perairan berbahaya dikenali sebagai Hustadvika yang dipenuhi terumbu karang.

Laporan mengatakan, kapten kapal Viking Sky terpaksa membuat panggilan kecemasan setelah kapal mewah berkenaan mula hanyut dalam ombak setinggi lapan meter di Laut Norway.

Pihak berkuasa yang enggan mengambil risiko meninggalkan mangsa di atas kapal mengambil keputusan untuk menjalankan operasi menyelamat mengggunakan helikopter.

"Kami lebih rela penumpang berada di dataran berbanding berada dalam kapal terbabit," kata Ketua Polis Tor Andre Franck.

Penyelamat menunggu untuk menyelamatkan penumpang dari kapal Viking Sky. - FOTO AFP
Penyelamat menunggu untuk menyelamatkan penumpang dari kapal Viking Sky. - FOTO AFP

Sejumlah 460 dari 1,373 penumpang telah diselamatkan menggunakan lima helikopter sebelum operasi dihentikan bagi membolehkan kapal ditunda ke pelabuhan.

Artikel Berkaitan:

"Operasi menyelamat ditangguhkan buat sementara sementara kapten menimbangkan situasi terkini dan membuat keputusan sama ada mahu menyambung operasi menyelamat atau tidak," kata jurucakap pusat penyelamat Norway.

Sementara itu, jurucakap pasukan kecemasan Per Fjeld berkata, selain penumpang warga Amerika Syarikat dan Britain, terdapat penumpang daripada 14 negara lain berada dalam kapal terbabit. - AFP