X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Liga Super: MFL pinda jadual aksi ketujuh hingga ke-10

Stuart Ramalingam
A
A

KUALA LUMPUR - Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan meminda jadual perlawanan ketujuh sehingga kesepuluh Liga Super musim ini bagi memberi laluan kepada persiapan Harimau Malaya dan skuad bawah 23 tahun (B-23) mengharungi kejohanan antarabangsa dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MFL akan membuat penyelarasan untuk meminda jadual enam perlawanan Liga Super itu, bagi membolehkan pasukan kebangsaan B-23 menyertai latihan pusat dan Sukan SEA 2022 di Hanoi, Vietnam pada 30 April-23 Mei.

"Ini diikuti kejohanan Piala AFC B-23 di Uzbekistan bermula 24 - 31 Mei membabitkan pasukan berkenaan, manakala skuad Harimau Malaya akan menjalani latihan pusat bermula 19-29 Mei sebagai persiapan menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia 2023.

"Pindaan keseluruhan jadual perlawanan minggu kesepuluh juga dirancang setelah Malaysia diberi peluang menjadi tuan rumah kepada pusingan kelayakan itu di Stadium Nasional Bukit Jalil dari 8-14 Jun,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Stuart berkata, dengan ketiadaan perjalanan dan kuarantin dalam fasa endemik ini, MFL dapat memberi tambahan hari untuk latihan pusat kepada pasukan kendalian Kim Pan Gon itu sebelum aksi penting berkenaan.

"Pindaan perlawanan Liga Super ini penting kerana ia berkaitan dengan agenda negara dan saya juga merakamkan penghargaan kepada setiap kelab yang memberi kerjasama serta persetujuan menyempurnakan pindaan ini dengan meletakkan kepentingan Malaysia sebagai keutamaan,” katanya.

Harimau Malaya bakal berdepan Turkmenistan pada 8 Jun ini, diikuti Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) pada aksi Kumpulan E pusingan kelayakan Piala Asia 2023.

Pasukan B-23 kebangsaan yang diundi dalam Kumpulan B pada Sukan SEA Hanoi pula akan berhadapan Thailand pada 7 Mei, sebelum bertemu Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei).

Sementara itu Stuart berkata pindaan jadual seterusnya mungkin terpaksa dilakukan dengan mengambil kira kelayakan ke peringkat berikutnya (pusingan kalah mati) oleh mana-mana kelab Liga Malaysia yang terbabit iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman FC dan Kuala Lumpur City FC dalam pertandingan anjuran Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Menurutnya perlawanan pusingan kedua Piala FA melibatkan pasukan berkenaan juga bakal dipinda, dan ia akan diumumkan minggu depan. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!