Bukan iktiraf tentera Jepun sebagai wira

Mohd Asmirul Anuar (empat, kiri) ketika merasmikan tugu peringatan Jepun.
Mohd Asmirul Anuar (empat, kiri) ketika merasmikan tugu peringatan Jepun.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri tidak berhasrat mengiktiraf tugu peringatan tiga askar Jepun di Alor Setar sebagai memorial mengenang wira, seperti tular di media sosial.

Exco Pelancongan, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, pihaknya juga tidak pernah bersetuju untuk merujuk tugu berkenaan sebagai tempat mengenang wira seperti digambarkan pada tugu berkenaan.

Menurutnya, ia hanya salah faham susulan beliau dijemput hadir pada majlis perasmian tugu wira Jepun, yang terletak di utara Jambatan Sultan Abdul Halim, Khamis lalu.

“Walaupun saya hadir majlis tersebut, tidak bermaksud kerajaan negeri setuju dengan perkataan yang digunakan bagi menggambarkan pengorbanan askar Jepun pada tugu itu,” katanya.

Mohd Asmirul Anuar berkata, kerajaan negeri juga tidak membelanjakan wang untuk pembinaan tugu terbabit.

“Semua kos baik pulih dibiayai pihak Konsul Jepun. Saya hanya dijemput merasmikan majlis. Tugu terbabit sudah lama wujud, ia cuma dibaik pulih dan diperindahkan kawasan yang sebelum ini ditumbuhi semak,” katanya.

Menurutnya, pihaknya kesal apabila terdapat pihak cuba mempolitikkan isu berkenaan, gara-gara kain rentang perasmian itu menyebut memorial itu sebagai tugu wira Jepun.

Majlis tersebut anjuran Pejabat Konsulat Jepun dari Pulau Pinang dan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah serta Muzium Negeri Kedah.

Artikel Berkaitan:

Mohd Asmirul Anuar berkata, pihaknya maklum berhubung kritikan yang tular bahawa penjajah Jepun tidak wajar diagung-agungkan sebagai wira.

“Perkataan ‘wira Jepun’ hanya kesilapan teknikal oleh penganjur, yang terdapat pada bahan promosi majlis. Kita tidak akan iktiraf askar Jepun sebagai wira,” katanya.

Menurutnya, pejabat Konsulat Jepun di Pulau Pinang telah memulihkan tugu peringatan setinggi 1.8 meter, bagi mengenang kejayaan Komandan Platun Leftenan Hajima Asahi dan dua askar Jepun lain.

“Batu tanda tiga bahasa bersebelahan dengan tapak tugu peringatan, bagi mengenang mereka yang terkorban ketika cuba menakluk jambatan Alor Setar ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu dan Borneo, pada 13 Disember 1941,” katanya.

Mohd Asmirul Anuar berkata, difahamkan tanda tiga bahasa itu merujuk kepada askar Jepun yang dianggap wira oleh sejarah Jepun.

“Perkara ini akan diperbetulkan. Saya akan minta kontraktor ubah segera, jika tulis askar Jepun tiada masalah, tetapi yang ditulis adalah wira,” katanya.

Menurutnya, beliau turut meminta perkataan ‘anti perang’ atau tidak mahu perang, dalam mempromosi nilai keharmonian dan keamanan pada tugu berkenaan namun kemungkinan ada pihak terlepas pandang.

“Saya ada arahkan tambah perkataan itu, mungkin maklumat tidak sampai kepada kontraktor, saya akan perbaiki hal ini,” katanya.

Tambahnya, tugu berkenaan boleh dipromosikan untuk menarik minat pelancong Jepun berkunjung ke Kedah.