Arab Saudi sumbang al-Quran, kurma kepada ATM

Sumbangan disampaikan Penasihat Pertahanan dari Kedutaan Arab Saudi di Malaysia, Brig Jen Abdullah Khaled Alyamini kepada Panglima ATM, Jen Tan Sri Affendi Buang pada majlis ringkas di Wisma Pertahanan pada Khamis. - Foto MINDEF
Sumbangan disampaikan Penasihat Pertahanan dari Kedutaan Arab Saudi di Malaysia, Brig Jen Abdullah Khaled Alyamini kepada Panglima ATM, Jen Tan Sri Affendi Buang pada majlis ringkas di Wisma Pertahanan pada Khamis. - Foto MINDEF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Arab Saudi menyampaikan sumbangan empat tan buah kurma dan 1,000 naskhah al-Quran kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sempena bulan Ramadan ini.

Markas ATM dalam kenyataan pada Jumaat memberitahu sumbangan itu disampaikan Penasihat Pertahanan dari Kedutaan Arab Saudi di Malaysia, Brig Jen Abdullah Khaled Alyamini kepada Panglima ATM, Jen Tan Sri Affendi Buang pada majlis ringkas di Wisma Pertahanan di sini, pada Khamis.

"ATM sesungguhnya amat berbesar hati dan berterima kasih kepada Angkatan Tentera Arab Saudi dan kerajaan Arab Saudi atas sumbangan itu sebagai tanda pengukuhan hubungan silaturahim serta persaudaraan sesama Islam, di samping memperkasakan aspek diplomasi pertahanan antara Angkatan Tentera kedua-dua negara," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pemerkasaan hubungan ketenteraan melalui sumbangan tersebut selari dengan Teras Keempat Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera iaitu ‘Menterjemahkan Kertas Putih Pertahanan’ dalam konteks hubungan pertahanan antarabangsa antara Malaysia dan negara lain. - Bernama