Mora puji benteng pertahanan JDT

Arif Aiman diasak pemain pertahanan Kawasaki Frontale dalam aksi ketiga Kumpulan I ACL 2022 di Stadium Sultan Ibrahim pada Khamis. - Foto FB Johor Southern Tigers (Gambar kecil: Benjamin Mora)
Arif Aiman diasak pemain pertahanan Kawasaki Frontale dalam aksi ketiga Kumpulan I ACL 2022 di Stadium Sultan Ibrahim pada Khamis. - Foto FB Johor Southern Tigers (Gambar kecil: Benjamin Mora)
A
A
A

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora memuji kekentalan benteng pertahanannya yang berjaya beraksi dengan cemerlang tanpa bolos mengikat juara Liga Jepun, Kawasaki Frontale dengan keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Sultan Ibrahim pada Khamis.

Menurut Mora, meskipun gagal mengutip tiga mata penuh pada perlawanan tersebut, pemain harus berbangga kerana berjaya mencuri satu mata berharga yang disifatkan sebagai bukan mudah untuk diperoleh tatkala menentang pasukan berstatus gergasi Asia.

“Benteng pertahanan berempat kami sangat hebat dan juga efisien dalam kawasan permainan, membaca perlawanan dan mengeluarkan bola dari kawasan bahaya. Shane dan Shahrul berjaya melakukan tugas sukar ini dengan baik.

“Mereka tahu untuk menggerakkan bola dan kami cuba untuk pergi sejauh mungkin dengan tahap kecergasan kami.

"Kami menukar taktikal untuk berada lebih dekat dengan lawan dan berjaya mendapat satu mata berharga dari perlawanan ini,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan.

Dalam sidang akhbar tersebut, Mora menepis pandangan sesetengah pihak yang menyatakan bahawa JDT bermain secara bertahan bagi mengelak kekalahan berbanding turun untuk memenangi perlawanan.

Jelasnya, mereka semua bermain seperti apa yang dimahukan mengikut DNA yang telah ditetapkan sebelum ini.

"Ia tidak benar. Saya sentiasa mahukan kemenangan dan kami tidak boleh lari daripada apa yang kita lakukan kerana kita akan lebih mudah untuk kalah.

"DNA permainan adalah sama. Kami bertahan setakat yang mampu dan melakukan serangan balas. Kami mahukan tiga mata penuh,” ujarnya.

JDT dan Kawasaki Frontale akan bertemu sekali lagi untuk perlawanan keempat Kumpulan I pada Ahad dengan kedua-dua pasukan akan mencari kemenangan bagi menjamin tempat ke pusingan seterusnya.