Kos haji naik, TH perkenal dua kadar bayaran jemaah muassasah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan dua kategori kadar bayaran bagi jemaah haji muassasah yang pertama kali mengerjakan haji bermula tahun ini.

Bayaran sebanyak RM10,980 perlu dibayar oleh jemaah daripada golongan B40 iaitu peningkatan sebanyak RM1,000, manakala bayaran sebanyak RM12,980 dikenakan bagi jemaah bukan B40 iaitu melibatkan peningkatan sebanyak RM3,000.

Amrin mengumumkan kadar baharu bayaran Haji pada Sidang Media di ibu negara pada Jumaat.
Amrin mengumumkan kadar baharu bayaran Haji pada Sidang Media di ibu negara pada Jumaat.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, kadar bayaran tersebut adalah berikutan kos haji bagi tahun ini meningkat kepada RM25,540 seorang berbanding RM22,900 pada 2019.

Menurutnya, kenaikan tersebut tidak dapat dielakkan berikutan peningkatan beberapa kos termasuk inflasi, pelbagai cukai terutamanya Cukai Nilai Tambah (VAT) dan caj visa Haji serta perlindungan insuran untuk jangkitan Covid-19 yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi.

"Cukai VAT Arab Saudi telah dinaikkan daripada 5 peratus kepada 15 peratus dan ini adalah faktor utama kepada kenaikan kos haji kerana jemaah menerima pelbagai perkhidmatan di Tanah Suci.

"Cukai ini sahaja menyebabkan kos haji meningkat lebih RM2,500 untuk seorang jemaah haji muassasah.

"TH meneruskan Bantuan Kewangan Haji dan menyerap kenaikan kos bagi jemaah Haji Malaysia terutamanya kategori B40 yang sudah tentunya lebih terkesan dengan impak Covid-19," katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.

Amrin menjelaskan, bayaran Haji jemaah muassasah telah kekal pada RM9,980 seorang sejak 2009, iaitu 13 tahun lepas, walaupun kos menunaikan haji telah meningkat setiap tahun sehingga 103 peratus.

Katanya, Pada tahun 2019 bayaran Haji adalah RM9,980 (44 peratus) manakala Bantuan Kewangan Haji oleh Tabung Haji adalah sebanyak RM12,920 (56 peratus) untuk seorang jemaah bagi mencukupkan kos haji sebenar RM22,900.

“Untuk tahun 2022, bantuan Kewangan Haji oleh Tabung Haji jemaah Muassasah kategori B40 adalah sebanyak RM14,560 seorang (57 peratus) manakala jemaah muassasah kategori lain turut menerima bantuan sebanyak RM12,560 seorang (49 peratus) berbanding RM12,920 seorang tahun 2019 (56 peratus)," katanya.

Pada masa sama, tambah beliau, berdasarkan kuota haji rasmi tahun ini iaitu 14,306, TH dijangka akan membelanjakan anggaran RM150 juta bagi menampung sebahagian daripada kos menunaikan ibadat

haji tahun ini melalui Bantuan Kewangan Haji ini.