Segerakan program perintis ATD kanak-kanak dalam tahanan imigresen

Heng Seai Kie - Foto Bernama
Heng Seai Kie - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Wanita MCA menggesa agar kerajaan segera melaksanakan program perintis Alternatif untuk Penahanan (ATD) kanak-kanak membabitkan mereka yang berumur 18 tahun ke bawah di semua Depot Tahanan Imigresen (DTI).

Ketuanya, Datuk Heng Seai Kie berkata, ia bertujuan bagi memastikan kesejahteraan penghuni kanak-kanak dalam tahanan terjaga sekali gus dapat menyediakan persekitaran yang lebih selamat dan sihat untuk mereka.

“Kanak-kanak yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen terdiri daripada mereka yang melarikan diri daripada peperangan, kemiskinan, kekacauan politik dan bencana alam.

“Mereka tidak mempunyai sebarang dokumentasi, bahkan majoriti adalah mereka yang telah kehilangan ibu bapa tanpa penjaga, serta mengalami trauma.

“Justeru, mereka tidak seharusnya ditahan, sebaliknya perlindungan untuk keselamatan serta hak asasi mereka perlu diberi keutamaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Rabu, seramai 528 tahanan etnik Rohingya dilaporkan melarikan diri dari Depot Sementara Imigresen Relau dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi.

Mengulas lanjut, Seai Kie berkata, pihaknya turut mengambil maklum berhubung saranan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang menggesa penyediaan kemudahan pendidikan, rekreasi dan perkhidmatan kesihatan kepada kanak-kanak yang ditahan.

Menurutnya, cadangan tersebut susulan kajian di seluruh negara yang menunjukkan bahawa kanak-kanak mengalami kesan psikologi yang negatif akibat ditahan di depot imigresen, malah terdapat risiko berlaku gangguan seksual kerana ditahan bersama-sama tahanan dewasa.

“Data daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) setakat 26 Oktober 2020 menunjukkan terdapat seramai 756 tahanan kanak-kanak warga asing ditahan di DTI seluruh negara. Ini adalah suatu jumlah yang besar.

“Kanak-kanak ini mempunyai kecenderungan membunuh diri terutamanya bagi kanak-kanak perempuan yang berhadapan dengan masalah kesihatan fizikal seperti kehilangan berat badan, trauma dan tekanan mental yang berkekalan.

“Justeru, demi memastikan kesejahteraan penghuni kanak-kanak dalam tahanan dan menyediakan persekitaran yang lebih selamat dan sihat untuk kanak-kanak ini, kami berharap agar kaedah alternatif yang sedang diteliti dapat segera dilaksanakan,” ujarnya.