Jangan U-turn lagi, rakyat mahu penjelasan

Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri
Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri
A
A
A

ALOR SETAR - Pemuda Umno Kedah menyelar tindakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang disifatkan membuat kenyataan ‘U-turn’ berhubung tujuh projek mega yang diumumkan beliau pada 19 Mac lalu.

Ketua Penerangannya, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, pihaknya mempertikai Mohamed Azmin kerana sebelum ini mengumumkan Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan RM1.6 bilion untuk projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), namun membuat kenyataan susulan bahawa projek itu akan dibiayai swasta.

Menurutnya, pihaknya kesal kerana setelah dikritik banyak pihak, pendirian Kerajaan Persekutuan berubah selepas dua hari membuat pengumuman itu.

“Kerajaan sering jaja kononnya tiada wang, tetapi pelik sebab ada dana untuk bina KXP, yang bukan keperluan segera bagi rakyat Kedah. Tiba-tiba dalam masa dua hari, pendirian itu berubah,” katanya.

Syed Mohd Johan Rizal melahirkan kebimbangan berhubung ‘sandiwara’ itu, yang mungkin dijadikan ‘halwa’ dalam cubaan mengelirukan rakyat.

“Setiap kali pengumuman dibuat menteri PH, setiap kali itulah akan ada kenyataan ‘U-turn’. Adakah pengumuman itu bertujuan mengukuhkan kedudukan politik Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar, kerana diuarkan beliau berdepan tekanan dalaman PH termasuk kritikan rakyat,” soalnya.

Menurutnya, sekiranya KXP dibina oleh pihak swasta, sudah pasti ia melibatkan pelaburan yang besar.

“Tiada pelabur sanggup mengeluarkan dana yang besar tanpa jaminan mendapat kembali wang pelaburan itu. Apakah imbuhan daripada kerajaan negeri atau Persekutuan kepada pelabur berkenaan, adakah pemberian tanah dijadikan timbal balik dalam perjanjian,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Syed Mohd Johan Rizal turut membangkitkan rasional sekiranya pembinaan Lebuhraya Koridor Utara dibina pihak swasta.

“Jika dibiayai swasta, bermakna kutipan tol akan dikenakan sebagai bayaran balik pelaburan, seperti beberapa projek pembinaan lebuh raya sebelum ini. Bukankah kutipan tol bercanggah dengan janji manifesto kerajaan PH,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya mahukan penjelasan Mukhriz berhubung pelaksanaan projek berkenaan selain mendesak kerajaan negeri mencari penyelesaian segera masalah bekalan air.

“Krisis air makin meruncing di Kedah, apa sudah jadi dengan kelulusan bajet kerajaan BN terdahulu menerusi program pembangunan Aset Air Kedah, yang memperuntukkan berbillion ringgit untuk menaik taraf aset air negeri,” katanya.

Menurutnya, projek disenaraikan itu merangkumi Jeniang Transfer & Empangan Naok (RM1.2 bilion), menaik taraf lima Loji Rawatan Air di Pelubang, Jenun Baru, Bukit Selambau, Sungai Limau dan Lubuk Buntar Lama (RM928 juta), membina ‘Off River Storage’ di Langkawi (RM 600 juta), pertukaran paip lama (RM276.44 juta), menaik taraf Loji Rawatan Air Tupah (RM50 juta) serta projek bekalan air luar bandar (RM 5.54 juta).

“Malangnya beberapa projek itu difahamkan dihentikan oleh kerajaan PH. Kami desak kerajaan PH jangan sekadar beri penyelesaian jangka pendek dalam isu bekalan air, sedangkan keutamaan diberikan kepada projek mega yang entah bila bakal terlaksana,” katanya.