Syarikat utiliti perlu kemas kini data dengan JUPEM: Xavier

Dr Xavier Jayakumar -Foto Bernama
Dr Xavier Jayakumar -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat utiliti disaran mengemas kini data utiliti bawah tanah mereka bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) memandangkan kebanyakan kabel serta paip mereka berada di lokasi berkenaan.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata adalah penting untuk mengemas kini data itu bagi memudahkan tadbir urus sesuatu projek pembangunan baharu selain mempercepatkan pelaksanaan projek itu.

"Terdapat banyak kes di mana sesuatu projek lambat disiapkan kerana (pemaju) dapat tahu ada utiliti di bawah (bawah tanah) yang tidak tahu milik siapa dan tidak diakui kepunyaannya oleh mana-mana pihak.

"Jadi, selain bagi tujuan kajian, data utiliti juga dapat membantu syarikat pemaju mendapatkan data daripada JUPEM berhubung utiliti bawah tanah ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Juruukur Sedunia 2019 di Wisma JUPEM, di sini hari ini.

Pihak JUPEM juga telah memulakan pengumpulan data utiliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sementara itu, bagi mengulas isu bekalan air, katanya, beberapa kawasan dalam negara sedang mengalami musim kemarau namun ia dijangka tidak membawa kesan serius.

"Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah membuat pemantauan empangan dan saya tidak nampak ada kesan serius.

"Pada masa ini masih okey tetapi jika kami mendapati ada suatu keadaan yang memerlukan kami bertindak, SPAN akan menggunakan prerogatifnya untuk menentukan sama ada catuan air perlu dilaksanakan atau tidak di kawasan yang terjejas,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Xavier turut berkata bagi mengatasi masalah bekalan air di Tawau, Sabah, kerajaan mempunyai perancangan untuk membina satu empangan besar di kawasan itu untuk kegunaan penduduk setempat.

"Selain itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga telah meluluskan RM510,000 untuk kegunaan negeri Kedah bagi atasi masalah kemarau, dan kami akan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk membekalkan perkhidmatan terbaik (untuk) bekalan air,” katanya mengulas situasi masalah bekalan air di beberapa negeri. -Bernama