Abdul Hadi harap penyebar 'Pas Leak' tanggung di akhirat

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

MARANG - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berharap penyebar dokumen sulit dikenali sebagai 'Pas Leak' yang dianggap sebagai surat layang menerima balasan setimpal dengan perbuatan.

Katanya, Pas tidak akan melayan isu penularan dokumen itu malah menyifatkan ia sebagai surat layang yang sengaja ditularkan bagi memburukkan imej parti tersebut.

"Surat layang ni kita tak tahu siapa yang buat. Sebab itulah dipanggil surat layang. Cuma dia tanggunglah dengan Tuhan. Kita orang Islam percaya kan. Bulan puasa pula," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Abdul Hadi menjelaskan, isu berkenaan hanya digemari oleh golongan tertentu yang disifatkan sebagai 'loyar buruk' kerana berminat untuk melayan surat layang itu.

"Tak ada guna kita melayan surat layang ni. Kalau layan nanti kita sama-sama melayang.

"Pada saya hanya yang 'loyar buruk' sahaja yang melayan surat layang ni, kerana dari segi undang-undang pun (isu itu) tidak lekat,” katanya.

Mengulas lanjut Abdul Hadi berkata, tiada keperluan baginya membuat sebarang penafian berhubung surat tersebut kerana penjelasan sudah dibuat oleh Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, pada Rabu.

Katanya, penyebaran Pas Leak tidak menggugat keharmonian serta hubungan parti itu bersama rakan komponen Perikatan Nasional (PN) yang lain.

"Hubungan bersama PN seperti biasa. Kita sentiasa mengadakan perbincangan dari masa ke semasa secara terperinci. Kita tak mahu layan surat-surat layang ni," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, terpulang kepada UMNO untuk membuat laporan polis berhubung isu tersebut.

"Terpulang kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk membuat laporan polis kerana Pas kekal dengan pendirian untuk tidak melayan isu berkenaan," ujarnya.

Sebelum ini tular di media sosial beberapa keratan dokumen didakwa merupakan minit mesyuarat Pas yang mempunyai pelan atau gerak kerja parti itu untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Dua pemimpin Pas dan PN iaitu Ahmad Samsuri dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin turut memberikan maklum balas dengan menyifatkan Pas Leak sebagai dokumen sampah.

Selain itu, mereka turut menafikan dakwaan wujud perbincangan dalaman untuk menjatuhkan beberapa pemimpin UMNO sebagaimana didakwa menerusi dokumen tersebut.